Mungkin Ini Kerja Orang Tun M, Kata Setiausaha Agung PAN

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) mempersoal pemilihan Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Dr Ahmad Termizi Ramli sebagai antara nama yang disenaraikan dalam Kabinet baharu kerajaan.

Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Tahir, berkata walaupun senarai Kabinet baharu itu belum rasmi, keberadaan nama Ahmad Termizi itu boleh dipertikaikan.

Katanya, ini kerana Ahmad Termizi bukan Ahli Parlimen dan AMANAH masih mempunyai dua Naib Presiden yang layak untuk disenaraikan dalam Kabinet baharu itu.

“Siapa dia (Ahmad Termizi) kerana kita ada dua Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen yang layak dilantik dalam Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Walaupun senarai Kabinet yang viral itu bukan rasmi, tetapi meletakkan nama mereka yang tewas dalam pilihan raya sebagai anggota Kabinet tidak kena.

“Ini hanya spekulasi tapi mungkin ini kerja orang Tun M, yang suka kepada dia (Ahmad Termizi),” katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau mengulas senarai Kabinet baharu pimpinan Dr Mahathir yang viral di media sosial sejak malam semalam.

Naib Presiden yang Mohd Anuar maksudkan ialah Dr Hasan Baharom (Ahli Parlimen Tampin) dan Hasanudin Mohd Yunus (Ahli Parlimen Hulu Langat).

Berdasarkan senarai Kabinet yang viral itu, selain Mohd Anuar, Ahli Parlimen AMANAH yang turut tersenarai ialah Datuk Dr Mujahid Yusof, Khalid Abdul Samad dan Mohamed Hanipa Maidin. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.