Pakatan Kurdish Kuasai Al-Qadisia Dari Militan Daesh

RAQQA – Gabungan tentera pakatan Kurdish dan negara Arab yang disokong Amerika Syarikat (AS) mengambil alih al-Qadisia dikuasai militan Daesh, semalam.

Menurut Reuters, Pasukan Demokratik Syria (SDF) memulakan serangan ke atas Raqqa sejak awal bulan ini, dalam usaha menyingkirkan militan Daesh yang menguasai bandar berkenaan.

“Kami menguasai Qadisia yang terletak di barat Raqqa, selepas bertempur selama tiga hari,” kata SDF dalam kenyataan yang dimuat naik di laman media sosial rasmi mereka, lapor BH.

Sejak 18 bulan lalu, SDF meningkatkan usaha menewaskan militan Daesh di kawasan dikuasai mereka di utara Syria.

Malah, tentera pakatan yang disokong AS turut menyerang Raqqa menerusi udara dan darat.

Baru-baru ini, serangan udara tentera pakatan mengorbankan ulama Bahrain, Turki Binali, pemimpin kanan Daesh yang terkenal di negara Teluk.

Tentera pakatan mendakwa membunuh penyumbang kewangan Daesh, Fawaz al-Rawi dalam satu serangan udara di Syria.

Bagaimanapun, menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), iaitu badan pemantau perang yang berpangkalan di Britain, serangan udara terbabit turut menyebabkan ramai orang awam terkorban.

Menurut SOHR, kira-kira 700 orang awam terkorban dalam serangan di Raqqa dan kawasan sekitarnya sepanjang tahun ini.

Bagaimanapun, tentera pakatan menafikan dakwaan itu dan memberi jaminan akan menjalankan siasatan berhubung laporan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.