Mohon Campur Tangan Sultan Selamatkan Pengambilan Tanah Masjid

TANAH MERAH – Satu kain rentang dipasang penduduk sekitar memohon Sultan Kelantan campur tangan menyelamatkan tanah dan Masjid Ismail Petra Tanah Merah (MIPTM) dari diambil oleh kerajaan negeri bagi tujuan projek pembangunan.

Memetik laporan Malaysia Gazette, Kain rentang dipasang di pagar masjid berkenaan itu sebelum umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri, sebagai membantah tindakan kerajaan negeri hendak mengambil tanah milik MIPTM untuk pembinaan jejambat (flyover).

Difahamkan, pembinaan jejambat itu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama aliran keluar masuk kenderaan dari arah Jeli ke pusat bandar Tanah Merah.

Laluan itu yang turut berkongsi dengan landasan kereta api, menambahkan lagi kesesakan terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.

Justeru, kerajaan negeri menerusi Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) melihat pembinaan jejambat dari MIPTM ke pusat bandar sebagai alternatif terbaik mengurangkan kesesakan.

Bagaimanapun, projek itu melibatkan sebahagian besar tanah milik MIPTM dan juga turut memberi kesan kepada struktur bangunan masjid yang berusia lebih 50 tahun itu.

Majlis berkeluasan 23,000 kaki persegi ini boleh memuatkan kira-kira 5,000 jemaah pada setiap waktu dan dirasmikan mantan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Al-Haj pada 1969.

Pada 26 Mei lalu, kira-kira 500 penduduk mengadakan perhimpunan aman membantah pengambilan kawasa MIPTM untuk pelaksanaan projek jejambat yang melintasi landasan kereta api di tengah bandar itu.

Mereka berkumpul sebaik sahaja selesai menunaikan solat Jumaat dengan membawa pelbagai sepanduk membantah pengambilan tanah itu.

Perancangan asal kerajaan negeri ialah membina jejambat itu di Kampung Jelatok kira-kira satu kilometer dari pusat bandar, tetapi tapak itu ditukar ke laluan yang membabitkan tanah milik MIPTM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.