Insiden Kereta Kabel Terhempas, 7 Maut

SRINAGAR – Tujuh orang maut apabila kereta kabel yang dinaiki mereka terhempas di sebuah resort ski di Jammu dan Kashmir, India.

Kejadian berlaku setelah angin kencang menyebabkan sebatang pokok berhampiran tumbang lalu menimpa dan memutuskan kabel yang memegang gondola terbabit di Resort Ski Gulmarg pada Ahad, lapor Awani.

Gondola yang dinaiki mangsa terhempas dari ketinggian beratus-ratus kaki dari tanah dan mengorbankan, antara lain, pasangan suami isteri dengan dua anak mereka serta seorang pemandu pelancong tempatan.

Perkhidmatan kereta kabel berkenaan dihentikan seketika sebelum operasinya diteruskan setelah usaha menyelamat pelancong yang terkandas pada 15 kereta kabel yang lain selesai.

Insiden tersebut dilaporkan yang pertama dalam sejarah perkhidmatan kereta kabel Gulmarg yang mula beroperasi pada tahun 1998, dan dibina oleh firma Perancis Pomalgalski.

Perkhidmatan kereta kabel Gulmarg sangat popular pada musim sejuk dan merupakan projek kereta kabel kedua tertinggi di dunia pada ketinggian 13,780 kaki dari paras laut, di mana ia boleh mengangkut sehingga 600 orang dalam satu jam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.