‘Al-Quran Thaqif Itulah Penguat Saya’

Hati ibu mana yang tak sedih apabila anak harapan keluarga merana kesakitan dan pergi buat selama-lamanya.

Namun apakan daya, ajal maut di tangan Allah SWT.

Saat-saat perit yang dilalui si ibu ketika kehilangan anak kesayangannya di hadapan mata sendiri, amat memilukan.

Bahkan, kisah hidup anak syurga bernama Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi amat meruntun hati seluruh rakyat di negara ini apabila membaca detik-detik hiba tersebut.

Hari ini sudah dua bulan anakanda Thaqif pergi meninggalkan ibu dan keluarganya.

Sepanjang dua bulan ini jugalah senaskhah al-Quran peninggalan arwah anakanda Thaqif menjadi peneman setia ibunya Felda Wani Ahmad, 40.

Bukan itu sahaja, naskhah kitab suci itu turut menjadi sumber kekuatan kepada Felda Wani.

“Al-Quran dia itulah penguat saya,” kata Felda Wani.

Thaqif, pelajar Madrasah Tahfiz al-Jauhar (MTAJ) dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru selepas cedera akibat dipukul.

Jangkitan kuman menyebabkan kakinya terpaksa dipotong. Namun keadaan memburuk sebelum kanak-kanak itu akhirnya menghembus nafas terakhir pada 26 April lalu pada usia 11 tahun.

Al-Mulk, Yassin siap ditanda

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan seorang pembantu warden sekolahnya kini dihadapkan ke mahkamah.

Sementara itu, Felda Wani berkata kini menjadi rutin hariannya membaca al-Quran – yang membolehkannya bangkit dari kesedihan yang mendalam.

“Kita nak ubat jiwa kita, tapi setiap kali saya mengaji mesti saya menangis.

“Sebenarnya kalau mengaji, bila kita buka al-Quran arwah, dia ada tanda siap-siap surah al-Mulk dengan surah Yassin.

“Maknanya, saya fahamlah dia suruh baca, dia dah tinggalkan siap-siap, dah tanda dah.

“Allahuakbar, maksudnya dia nak suruh saya baca hari-hari, sebab itu yang dia baca hari-hari,” kata Felda sambil menahan sebak.

 

Felda Wani berkata demikian ketika ditemui Malaysiakini baru ini. Beliau hadir mengendong anak kecil tiga bulan – adik Thaqif.

Thaqif anak ketiga daripada lima beradik. Arwah mempunyai dua orang kakak, seorang adik lelaki dan seorang adik perempuan.

Bagaimanapun, pertemuan dengan ibu Thaqif tidak lama sebelum ini masih memperlihatkan wajah sugul si ibu, selepas dua bulan lebih anaknya meninggal dunia.

Si ibu turut berkongsi kenangan manis dengan arwah yang manja dan mempunyai watak lemah lembut.

Mimpi

“Arwah tak suka orang yang ganas-ganas.

“Kadang-kadang adik dia ajak bertumbuk pun dia tak suka,”kata Felda Wani sambil menambah sifat itu ‘turun’ dari bapanya Mohd Gaddafi Mat Karim, 43.

Sementara itu, Felda Wani juga berkata dia ada bermimpikan anaknya Thaqif baru-baru ini.ayah

Dalam mimpi itu, katanya lagi, dia dapat melihat kelibat anaknya duduk di kerusi sambil memegang surah Yasin.

“Sebelum puasa saya ada mimpi arwah. Dia tak nak saya sedih sebab kalau saya sedih dia pun akan sedih.

“Saya dapat lihat dalam mimpi itu arwah duduk di kerusi dalam keadaan sempurna kedua belah kakinya juga ada.

“Sebaik mendapat mimpi tersebut perasaan saya agak lega sedikit berbanding sebelumnya,” kata Felda.

 

Pada pertemuan Malaysiakini bersama ibu Thaqif di Kuala Lumpur, Felda Wani juga mendedahkan arwah sebelum ini merancang untuk memakai kurta untuk hari raya.

“Masa saya pergi tempah baju raya, seminggu selepas di berhenti sekolah, iaitu selepas 31 Mac dia tak nak (baju Melauyu). Dia kata tak nak baju yang ada seluar.

“Dia nak kurta yang tak perlu ada seluar,” kata Felda sambil berkata warna ungu menjadi pilihan arwah.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.