Tiada Kenaikan Tarif Elektrik Di Semenanjung, Sabah, Labuan

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri hari ini memutuskan tarif elek­trik bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan bagi tahun semakan semula kos bahan api dan kos penjanaan (ICPT) kekal bermula 1 Julai sehingga 31 Disember ini.

 

Menurut kenyataan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, rebat ICPT sebanyak 2.25 sen per kilowatt-jam (kWj) bagi Semenanjung Malaysia dan purata kadar tarif 1.20 sen kWj untuk Sabah dan Labuan tidak mengalami kenaikan bagi tempoh tersebut.

 

Katanya, keputusan itu meliputi semua kategori pengguna kecuali domestik dalam lingkungan penggunaan 300/kWj dan ke bawah yang tidak terlibat dengan kenaikan tarif kali terakhir pada 1 Januari 2014.

 

“Selaras langkah rasionalisasi subsidi tenaga, kerajaan memutuskan harga gas asli berpaip di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak RM1.50 setiap juta unit termal British (MMBtu) daripada RM15.20/MMBTu kepada RM16.70/MMBTu berkuat kuasa 1 Julai ini.

 

“Namun, kenaikan harga bahan api ini tidak akan memberi kesan ke atas tarif elektrik dan pemberian rebat ini dapat dite­ruskan dengan adanya penjimatan ICPT bagi tempoh Januari sehingga Jun ini sebanyak RM1,085.67 juta.

 

“Jumlah ini adalah termasuk penjimatan sebanyak RM300 juta daripada hasil rundingan semula perjanjian pembelian tenaga dengan penjana kuasa bebas (IPP) generasi pertama,” katanya.

 

Kata kenyataan itu, penjimatan tersebut akan disalurkan kepada pengguna supaya mereka dapat terus menikmati tarif elektrik pada kadar sedia ada.

 

Ujarnya, mekanisme ICPT yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia sejak 1 Januari 2014 telah membolehkan kerajaan menyemak kadar tarif elektrik pada setiap enam bulan dengan mengambil kira beberapa faktor.

 

Jelasnya, penjimatan ICPT sebanyak RM1,085.67 juta di Semenanjung Malaysia adalah hasil peningkatan penggunaan arang batu yang harga secara relatif lebih rendah berbanding bahan api lain.

 

“Bagi Sabah dan Labuan pula, keputusan untuk mengekalkan tarif elektrik kerana atas inisiatif kerajaan Persekutuan dalam mengekalkan pemberian subsidi bahan api dan sokongan tarif elektrik yang dianggarkan sebanyak RM685 juta,” katanya.

 

Tambah kenyataan itu, pihak kementerian tidak mengawal selia industri elektrik di Sarawak termasuk berkaitan tarif elektrik seperti termaktub menurut Seksyen 1(2) Akta Bekalan Elektrik 1990. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.