Syarikat GLC Diminta Henti Beli Ruang Iklan Akhbar Tidak Beretika

KUALA LUMPUR – Kebebasan media ada hadnya tetapi kalau penyiaran beritanya sehingga sampai peringkat fitnah atau boleh mencemar nama baik negara, seharusnya dicegah.

 

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata ini termasuk menarik permit mana-mana akhbar yang jelas tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan imej pentadbiran negara di mata negara luar.

 

Malah katanya, syarikat GLC digesa menghentikan pembelian ruangan iklan dalam akhbar berkenaan yang ternyata tidak beretika dan boleh memesongkan fikiran orang ramai terhadap laporannya.

 

“Kalaupun The Edge mahu menarik rating pembacanya tetapi bukan dengan cara memutarbelitkan fakta pembelian hartanah di Australia oleh MARA.

 

“Sebarang laporan berkenaan pembelian hartanah ini kena mendapatkan sumber yang benar-benar sah dan bukannya mengikut khabar angin,” katanya dalam kenyataan di blognya.

 

Jelasnya, tindakan akhbar berkenaan menyiarkan laporan tidak tepat mengenai pembelian hartanah di Australia boleh menjejaskan nama baik dan ekonomi negara.

 

“Sedikit sebanyak boleh menjejaskan kepercayaan dan keyakinan pelabur terhadap negara ini.

 

“Sebagai pengamal media mereka jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata sebaliknya kena mengkaji impak penyiaran berita berkenaan kepada kepentingan ekonomi dan masa depan negara,” katanya.

 

Menurut Syed Ali, apabila laporan sumber berita dari bukan pihak berkenaan sudah tentu negara akan terdedah dengan sebarang kemungkinan pihak cuba mengambil kesempatan atau menjahanamkan nama baik negara.

 

“Kita kena ingat negara luar amat mencemburui kestabilan ekonomi dan perpaduan rakyat negara ini. Negara lain turut berasa hairan bagaimana Malaysia masih boleh mengekalkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini sedangkan negara lain mempunyai satu bangsa dan agama pun boleh berpecah belah dan berantakan.

 

“Pihak irihati ini akan melakukan pelbagai usaha memecahbelahkan kita dengan cara halus atau dalaman,” ujarnya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.