Provokasi Sentuh Punggung Dalam Copa America

SANTIAGO – Pegawai rasmi badan induk bola sepak Amerika Selatan mengesahkan akan meneliti kes membabitkan pemain Chile, Gonzalo Jara selepas rakaman video menunjukkan dia menyentuh punggung pemain Uruguay, Edinson Cavani.

 

Tindakan provokasi yang dilakukan Jara pada perlawanan suku akhir Copa America itu, semalam menyaksikan Cavani diarah keluar padang oleh pengadil kerana bertindak balas dengan cara kasar.

 

Ahli panel disiplin Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) berkata badan induk itu “akan membuka kertas siasatan” terhadap Jara.

 

Cavani yang juga penyerang utama Uruguay di kejohanan itu diarah keluar padang pada minit ke-63, disebabkan provokasi Jara yang membawa kepada kemenangan 1-0 Chile sekali gus mara ke separuh akhir.

 

Penyerang Paris Saint Germain itu dilihat menampar muka Jara sejurus punggungnya disentuh, namun pengadil hanya menghukum Cavani dengan memberinya kad kuning kedua.

 

Sekalipun tamparan itu tampak tidak kuat, Jara merebahkan badannya ke padang sambil memegang muka.

 

Kad kuning pertama Cavani diperoleh selepas dia tidak berpuas hati dengan keputusan penjaga garisan pada minit ke-30.

 

Kapten Uruguay, Diego Godin berkata selepas perlawanan yang Cavani “bertindak seperti sepatutnya” atas tindakan yang dilakukan Jara.

 

Cavani mengambil keputusan untuk terus beraksi bersama Uruguay sekalipun bapanya ditahan pihak berkuasa di negaranya atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal.

 

Ini bukan kali pertama Jara melakukan provokasi kepada pemain lain. Pada 2013, rakan sepasukan Cavani, Luis Suarez turut diarah keluar padang kerana menumbuk muka Jara atas provokasi hampir sama terhadapnya.

 

Seandainya Jara digantung, ia akan memberi tamparan kepada tuan rumah yang cuba menjuarai Copa buat pertama kali. – AP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.