Kerajaan Telus, Mahu Siasatan Menyeluruh Isu MARA

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersikap telus dan mahu isu pembelian bangunan oleh Mara Incorporated Sdn.Bhd. di Melbourne, Australia disiasat secara menyeluruh, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

“Kita mahu soal ini disiasat sepenuhnya. Kita akan bagi kerjasama sepenuhnya. Kita mahu perkara ini disiasat dan dibuat penentuan oleh pihak berkuasa.

 

“Ini supaya tidak timbul keraguan dalam siasatan dan kesimpulan siasatan,” kata Najib, yang juga Presiden Umno, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

 

Akhbar Australia, The Age melaporkan seorang pegawai tinggi Mara, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan dana kerajaan secara berlebihan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah.

 

Akhbar itu mendakwa ‘sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya’ terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

 

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa ‘membida lebih tinggi’ bagi bangunan itu dikenali ‘Dudley International House’, daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

 

Dudley International House merupakan asrama pelajar, dibeli oleh Mara yang menyediakan biasiswa pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.

 

Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat di subbandar East Caulfield menempatkan 115 pelajar Mara di Monash University.   – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.