Kapal TLDM Mungkin Tidak Sengaja Masuk Perairan Indonesia – Duta

KUALA LUMPUR – Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang didakwa memasuki kawasan perairan Ambalat di Indonesia mungkin berlaku secara tidak sengaja, kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno.

 

Beliau berkata, perkara itu boleh diselesaikan secara diplomasi dan tidak perlu diperbesarkan. Jelasnya, hubungan maritim Malaysia-Indonesia sentiasa terjalin dengan baik walaupun terdapat beberapa perkara yang belum selesai seperti berkaitan perbatasan laut antara kedua-dua negara.

 

“Seperti sedia maklum perkara itu masih dalam perbincangan, jadi kapal-kapal Malaysia sebaiknya tidak lalu (memasuki) di sana (perairan Ambalat), tapi kita mengerti sekiranya kadang-kadang kita juga tidak sengaja (memasuki perairan negara lain),” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa sempena Forum Budaya dan Ekonomi Malaysia-Indonesia Se-ASEAN di sini, hari ini.

 

Dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Indonesia baru-baru ini mendakwa kononnya beberapa kapal perang Malaysia didapati memasuki wilayah perairan Ambalat sejak kebelakangan ini.

 

Mengambil contoh insiden rampasan kapal tangki MT Orkim Harmony pada 11 Jun lepas, Herman berkata hubungan maritim Malaysia-Indonesia yang sangat baik terbukti apabila Indonesia turut membantu dalam operasi pencarian kapal berkenaan.

 

Katanya, walaupun lapan suspek yang merampas kapal itu adalah warga Indonesia, namun kejadian itu tidak sesekali menjejaskan hubungan kedua-dua negara.

 

Mengenai pengadilan terhadap suspek rampasan MT Orkim Harmony yang ditahan pihak berkuasa Vietnam, Herman berkata ia terserah kepada kerjasama antara ketiga-tiga negara.

 

“Tidak ada masalah sekiranya semua suspek penculikan itu sama ada diadili di Malaysia ataupun Indonesia, yang pasti setiap pesalah mesti dihukum,” katanya.

 

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada 8.57 malam, 11 Jun lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka menuju Pelabuhan Kuantan, Pahang.

 

Lapan suspek kes kapal tangki itu ditahan pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu, selatan Vietnam pada 19 Jun. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.