Pengarah MAS Pulangkan Elaun

KUALA LUMPUR 25 Jun – Seramai 10 Pengarah Bukan Eksekutif Malaysian Airline System Bhd. (MAS) bertindak memulangkan kembali pembayaran elaun sebanyak RM396,000 bagi sepanjang 2013, selepas kesemua mereka bersetuju untuk berbuat demikian secara sukarela ekoran prestasi teruk syarikat itu.

Bagaimanapun akhbar The Star melaporkan, keputusan itu dibuat selepas pemegang-pemegang saham minoriti syarikat itu menentang resolusi pembayaran elaun itu semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) MAS yang berlangsung hari ini.

Menurut akhbar itu lagi, Pengerusi MAS, Tan Sri Md. Nor Yusof berkata, bilangan undi yang dikumpul melalui bilangan tangan yang bersetuju tidak mencukupi bagi meluluskan resolusi tersebut.

Bagaimanapun, resolusi tersebut dan kesemua yang lain diluluskan menerusi undian secara rahsia yang diadakan.

Sementara itu, dalam kenyataan MAS, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, dalam sejarah 41 tahun syarikat penerbangan itu mereka tidak pernah menghadapi kesukaran seperti yang dialami ketika ini terutama sekali selepas berlakunya kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu.

“Semestinya, kami tidak berpuas hati terhadap prestasi kewangan kami pada 2013. Anda semua sudah tentu mengikuti pelbagai spekulasi berhubung syarikat penerbangan ini daripada media dan penganalisis industri tentang perubahan model perniagaan MAS.

“Kami tahu banyak pilihan yang sedang dipertimbangkan, namun perlu diakui pemulihan tidak akan berlaku semudah itu. Saya tidak menyimpan hasrat untuk berhadapan dengan anda semua lagi pada AGM tahun hadapan dengan berita buruk yang berterusan selain tiada unsur-unsur perubahan di dalam syarikat,” katanya semasa menyampaikan ucapannya kepada pemegang-pemegang saham MAS di dalam AGM tersebut.

Pada tahap sekarang ujar beliau, perubahan radikal dan besar dalam evolusi perniagaan merupakan satu-satunya pilihan yang ada bagi pemulihan MAS dan ia sememangnya dalam agenda pengurusan.

Beliau bagaimanapun optimis terhadap masa depan MAS berdasarkan pencapaian dan pengiktirafan tertinggi yang telah diperoleh oleh syarikat penerbangan itu.

“Kita juga ketika ini berada di dalam program menggantikan pesawat-pesawat sedia ada dengan sasaran jangka hayat purata pesawat kurang daripada lima tahun. MAS juga memiliki pasukan kejuruteraan berkelas dunia yang selama 41 tahun sebelum ini syarikat memiliki rekod keselamatan yang cemerlang,” ujar beliau.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.