Rasionalisasi subsidi petrol RON95 kekal dilaksana separuh kedua tahun ini – Amir Hamzah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan tetap melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 seperti yang dirancang pada separuh kedua tahun ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perbincangan berkaitan rasionalisasi subsidi masih berjalan di peringkat Jemaah Menteri bagi meneliti mekanisme terbaik untuk pelaksanaan menyeluruh dan adil kepada rakyat.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kabinet telah berbincang, di mana kita akan meningkatkan tahap kelayakan penerimaan subsidi. Yang kedua ialah mekanisme yang akan digunakan, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, kita akan menggunakan kad pengenalan dan setiap rakyat Malaysia memilikinya.

“Kita sudahpun menggunakan kad pengenalan dalam Skim SARA (Sumbangan Asas Rahmah) dan ia berkesan. Jadi, buat masa sekarang Kementerian Kewangan sedang mengetatkan lagi sistem di mana kita boleh menggunakannya untuk perlaksanaan subsidi RON95,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA 2025 lapor BH pada Isnin.

Minggu lalu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata kementeriannya telah menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 kepada Kementerian Kewangan, sekali gus memberi petunjuk jelas bahawa pelaksanaannya semakin hampir direalisasikan.

Beliau berkata, urusan berkaitan subsidi bersasar bahan api itu tidak lagi berada di bawah bidang kuasa kementeriannya.

“Keputusan berhubung subsidi bersasar RON95 telah diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan. Itu adalah keputusan Jemaah Menteri.

“Pihak Kementerian Ekonomi telah membentangkan perkara ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebanyak empat kali.

“Kini, kami menunggu tindakan selanjutnya daripada Kementerian Kewangan yang akan mengurus keseluruhan proses subsidi RON95 selepas ini,” katanya.

Penyerahan tanggungjawab itu mencerminkan pendekatan berpusat di bawah Kementerian Kewangan dalam usaha menyusun semula sistem subsidi negara sebagai sebahagian daripada agenda pembaharuan fiskal yang lebih menyeluruh.

Pada pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan bahawa kerajaan merancang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai sidang kemuncak ASEAN yang sedang berlangsung ketika ini, Amir Hamzah berkata, ia memberi ruang kepada negara anggota ASEAN serta China untuk membincangkan isu serantau, termasuk kesan tarif Amerika Syarikat (AS) selepas tempoh 90 hari berakhir.

“Saya pasti isu tarif akan dibangkitkan, sama ada di peringkat dua hala atau semasa pertemuan pemimpin negara,” katanya.

Beliau turut menyentuh peranan penting Malaysia dalam usaha mencari penyelesaian terhadap krisis Myanmar, termasuk membawa negara itu kembali aktif dalam ASEAN.

“Kita juga melihat potensi kerjasama lebih erat antara ASEAN, GCC (Majlis Kerjasama Teluk) dan China untuk membentuk blok perdagangan yang lebih kukuh,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat