KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Wong Chia Zhen mendakwa pemimpin PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli merupakan mangsa kepada ‘pembunuhan politik’ yang dirancang oleh pimpinan tertinggi partinya sendiri.
Menurut Chia Zhen, tindakan menyingkirkan Rafizi dari jawatan nombor dua parti itu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan keberanian beliau menyuarakan pandangan berbeza sejak kebelakangan ini.
“Saya memetik kenyataan Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkan Rafizi sebagai contoh mangsa ‘political assassination’ oleh pimpinan partinya sendiri. Kesalahannya hanyalah kerana kepintarannya,” lapor MalaysiaGazette, semalam.
Chia Zhen turut melahirkan rasa simpati terhadap sitausi menimpa Rafizi yang suatu ketika dahulu merupakan antara tokoh utama membawa idealisme reformasi dalam politik Malaysia.
Namun katanya, idealisme tersebut kini tenggelam dalam permainan kuasa dalaman PKR yang semakin sarat dengan unsur nepotisme dan pemujaan individu.
“Keberanian Rafizi menyuarakan pandangan kini menjadi liabiliti, bukan aset, dalam parti yang kononnya menjunjung demokrasi dalaman. Apa yang berlaku ini mendedahkan bahawa PKR dari awal lagi bukanlah sebuah parti reformasi, tetapi sekadar kenderaan politik peribadi,” tegas Chia Zen.
Menurut beliau lagi, prinsip keterbukaan dan perjuangan untuk rakyat kini dikorbankan demi kelangsungan politik individu tertentu dalam parti tersebut.
“Ia mengingatkan kita bahawa kuasa tanpa semak imbang membawa kepada pembunuhan karakter serta pengasingan terhadap mereka yang berani menyatakan kebenaran,” tambahnya.
Justeru, Chia Zhen menyeru rakyat untuk menilai semula kepercayaan yang diberikan kepada parti yang selama ini melaungkan reformasi.
“Demokrasi bukan sekadar slogan, ia menuntut amalan yang konsisten, bukan hanya ketika selesa. Politik hari ini memerlukan keberanian untuk berkata benar, walaupun berhadapan dengan ‘raja’ dalam parti sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Gerakan akan terus memperjuangkan keadilan untuk semua tanpa mengira latar belakang serta menentang hipokrasi dalam politik.