KUALA LUMPUR – Penentuan tarikh sambutan Aidiladha berbeza berdasarkan lokasi dengan peluang anak bulan kelihatan di negara terletak di sebelah Barat biasanya lebih tinggi berbanding di bahagian Timur, termasuk Malaysia.
Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr Ahmad Irfan Ikmal Hisham, berkata penentuan Aidiladha dibuat berdasarkan matlak.
Matlak merujuk kawasan yang berada pada jangka masa waktu terbit dan terbenam matahari atau bulan yang hampir sama atau membabitkan negara yang berkongsi siang dan malam yang sama.
Justeru, tegasnya, kenyataan Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpusat di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menjangkakan Aidiladha pada 6 Jun di kebanyakan negara, tidak boleh dijadikan sandaran.
“Data hisab dikeluarkan Pusat Astronomi Antarabangsa adalah berdasarkan lokasi mereka. Kenyataan itu hanya sesuai di rantau mereka, tidak sesuai di negara kita kerana lokasi matlak yang berbeza.
“Dalam sistem kalendar Islam, adalah menjadi kebiasaan sekiranya negara belah Barat lebih awal nampak hilal atau anak bulan berbanding negara belah Timur,” lapor BH pada Isnin.
Beliau diminta mengulas kenyataan Pusat Astronomi Antarabangsa yang menjangkakan kebanyakan negara Islam akan menyambut Aidiladha pada 6 Jun ini.
Lapor Agensi Berita Emirates (WAM), pusat yang berpangkalan di Abu Dhabi itu memaklumkan bahawa anak bulan yang menandakan permulaan Zulhijjah 1446H dijangka dapat dilihat esok, iaitu 27 Mei.
Tambah Ahmad Irfan, melihat kepada data hilal dan hisab berasaskan kriteria Imkanurrukyah di Malaysia, ketika hari cerapan esok, iaitu pada 29 Zulkaedah 1446, kemungkinan besar hilal tidak kelihatan.
Maka, katanya, Zulkaedah digenapkan kepada 30 hari pada hari berikutnya dan Aidiladha dijadualkan pada 7 Jun.
Namun, katanya, sekiranya hilal kelihatan di mana-mana stesen cerapan pada proses esok, maka 1 Zulhijjah akan jatuh pada Rabu dan Aidiladha disambut pada 6 Jun.
“Umat Islam dinasihatkan agar taat kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang akan dibuat pada malam esok. Tidak perlu bimbang dengan fenomena raya mengejut kerana Aidiladha disambut pada 10 Zulhijjah, bukan 1 Zulhijjah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan umat Islam bahawa sambutan Aidiladha adalah mengikut lokasi semasa mereka.
“Sekiranya berada di Arab Saudi, maka patuhilah tarikh Arab Saudi. Jika berada di Malaysia, patuhilah tarikh yang diisytiharkan oleh pihak berkuasa Malaysia,” katanya.
Menurut takwim Islam yang dikemaskini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), tarikh jangkaan Aidiladha tahun ini pada 10 Zulhijjah 1446H bersamaan Sabtu 7 Jun.