KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal Ahmad Fauwaz Fadzil dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan baharu berkuat kuasa 23 Mei lalu.
Berita pelantikan itu dikongsikan menerusi Facebook rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pada Isnin.
“Sekalung tahniah. Ketua Pengarah dan seluruh warga Jakim merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil atas pelantikan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan berkuatkuasa 23 Mei lalu.
“Semoga Allah SWT mempermudah segala urusan dan mengurniakan kekuatan dalam memikul amanah besar ini demi kemaslahatan ummah dan negara,” katanya.
Ahmad Fauwaz adalah anak kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan merupakan Ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang akidah pernah dilantik oleh kerajaan untuk mengetuai jawatankuasa bagi membentuk modul silibus pemulihan akidah kanak-kanak GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang diselamatkan pihak berkuasa.
Ahmad Fauwaz memiliki kelulusan dalam bidang Syariah dari Universiti Al-Azhar serta Universiti Malaya, selain pernah menjalani latihan kefatwaan di Dar al-Ifta, Mesir.
Pelantikan baharu itu bagi menggantikan Prof. Madya Datuk Dr. Luqman Abdullah yang kembali bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Untuk rekod, Luqman menggalas jawatan itu sejak 2020 bagi menggantikan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu.