Ustaz Langgan Pelacur Punca Drama ‘Nur’ Dikritik Ramai Pihak

DRAMA lakonan Syafiq Kyle dan Amyra Rosli berjudul Nur yang mula ditayangkan sejak minggu lalu mendapat sambutan baik daripada penonton namun terdapat pendapat kurang enak mengenainya.

Karya yang mengisahkan seorang ustaz bertemu pelacur menjadikan jalan ceritanya berbeza berbanding drama-drama lain khususnya bagi tayangan pada bulan Ramadan.

Namun, ada segelintir netizen menganggap penulis skrip drama itu sengaja menjatuhkan maruah golongan ustaz apabila watak Ustaz Hamadi lakonan Azhan Rani menampilkannya sebagai orang munafik.

Selaku pengarah dan penulis skrip drama tersebut, Shahrulezad Mohameddin menjelaskan dia terlebih dahulu membuat kajian mengenai watak tersebut.

Malah, dia juga pernah berjumpa dengan ustaz seperti watak yang dilakonkan oleh pelakon Azhan Rani.

“Semua watak seperti itu abang dah bertemu dik. Ya! Depan mata abang sendiri. Sebagai penulis skrip subjek macam ni memang abang curious sangat.

“Abang cuba dekati mereka. Cuba selami hati mereka. Orang macam ni sebenarnya hidup dalam penafian juga.

“Mengharapkan suatu hari nanti mereka sempat bertaubat yang mereka anggap semudah tekan suis buka dan tutup. Takut bukan?” tulis Shahrulezad.

Penjelasan tersebut dibuat menerusi laman Instagram Shahrulezad selepas dia menerima komen netizen yang menganggap watak itu seperti mengaibkan golongan ulamak.

Dalam pada itu, Shahrulezad memberitahu masih ada lagi ustaz yang baik dan ikhlas biarpun sudah ditenggelami dengan kemunculan ustaz berperangai sebegitu.

Kata Shahrulezad, tujuan dia memaparkan kisah dan watak itu hanya sebagai salah satu langkah untuk ibu bapa agar perlu mengambil tahu hal yang berlaku terhadap anak mereka di sekolah.

“Walaupun begitu bukan semua ustaz di sekolah pondok atau tahfiz sejahat Ustaz Hamadi. Ramai yang baik dan ikhlas. Cuma kebaikan mereka semakin tenggelam dengan kemunculan ustaz ala Ustaz Hamadi ini.

Azhan Rani sebagai Ustaz Hamadi.

“Jadi tujuan abang paparkan kisah dan watak seperti ini hanyalah sebagai langkah kita untuk berjaga-jaga.

“Ibu bapa kena ambil tahu apa yang berlaku di sekolah pondok atau tahfiz anak mereka. Masa depan anak akan rosak kalau jatuh di tangan mereka yang salah,” katanya.

Dalam drama ini Ustaz Hamadi digambarkan seorang ustaz alim namun sebaliknya dia gemar melanggan pelacur dan menggunakan wang anak yatim untuk kepentingan dirinya sendiri.

Selain Syafiq Kyle, Amyra Rosli dan Azhan Rani, drama itu turut dibintangi oleh Datuk Jalaludin Hassan, Fatimah Abu Bakar dan Noorkhiriah.

Drama terbitan terbitan Radius One Sdn Bhd itu disiarkan bermula 14 Mei lalu pada pukul 10 malam setiap Isnin hingga Khamis menerusi slot Samarinda TV3. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.