Peguam Rayu Orang Ramai Bantu Cari Jamal

KUALA LUMPUR – Peguam kepada Datuk Seri Jamal Md Yunos merayu kepada orang ramai agar membantu pihak polis bagi mengesan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu yang dilaporkan hilang secara petang tadi.

Datuk Mohd Imran Tamrin melalui satu kenyataan media yang dikirimkan sebentar tadi berkata ‘kehilangan’ Jamal mungkin disebabkan salah faham kerana menyangka proses ikat jamin tersebut telah sempurna.

“Saya menyeru dan mohon pertolongan rakan-rakan yang ada diluar sana agar dapat membantu kami serta pihak Polis dalam mendapatkan beliau agar proses ikat jamin tersebut dapat disempurnakan tanpa sebarang implikasi terhadap mana-mana pihak.

“Saya percaya mungkin berlaku sedikit “miscommunication” dan anak guam kami beranggapan proses ikat jamin tersebut telah sempurna.

“Ini adalah pengalaman pertama beliau dalam menghadapi situasi atau prosedur pertuduhan luar kamar mahkamah,” ujarnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, sebelum ini berkata ‘kehilangan’ Jamal berlaku antara pukul 5 ke 6 petang ketika pihak polis dan peguam sedang melakukan dokumentasi jaminan mahkamah.

“Kita sedang kesan beliau (Jamal) untuk menyelesaikan proses dokumentasi jaminan,” katanya melalui satu kenyataan yang diberikan kepada SuaraTV malam tadi.

Selanjutnya Mohd Imran yang juga merupakan Adun Sungai Panjang turut meminta agar Jamal segera menghubungi beliau selaku peguam atau menyerahkan diri bagi mengelakkan di tangkap pihak polis.

“Saya juga percaya, ini adalah kes kekhilafan tanpa sebarang niat melakukan apa-apa jenayah termasuk niat untuk lari dari tahanan. Saya khuatir beliau dalam keadaan trauma atau tekanan (unecessary pressure) kerana situasi dan keadaan ini adalah sesuatu yang baru untuk beliau.

“Saya memohon kemaafan kepada semua pihak yang terlibat terutamanya pihak Polis, Mahkamah dan Hospital dalam kes ini.

“Sekali lagi saya mohon supaya Dato’ Sri Jamal Yunos dapat menghubungi kami kumpulan peguam atau hadir terus ke IPD Ampang Jaya bagi menyempurnakan proses ikat jamin tersebut dan saya percaya pihak Polis akan memberikan kerjasama dan bantuan yang sewajarnya tanpa perlu ada sebarang tangkapan,” ujarnya lagi.

Menurut Mohd Imran, anak guamnya telah keluar dari wad sebelum proses ikat jamin selesai.

“Semalam pada 25/5/2018 jam lebih kurang 3.30 pm, ketika kami kumpulan peguam membantu proses ikat jamin untuk anak guam kami iaitu Dato’ Sri Jamal Yunos bagi pertuduhan kes dalam Mahkamah Majistret Shah Alam dan Mahkamah Majistret Ampang yang telah dibacakan kepada beliau di Wad Hospital Ampang Puteri pada sebelah pagi, kami dapati beliau telah keluar dari wad sebelum proses tersebut sempurna dan kami gagal mendapatkan beliau untuk melengkapkan proses ikat jamin petang semalam.

“Saya bersama dengan rakan-rakan bijaksana saya yang lain telah dibawa ke IPD Ampang Jaya pada jam lebih kurang 5.00 pm untuk membantu pihak Polis bagi mengesan dan mendapatkan Dato’ Sri Jamal Yunos untuk melengkapkan proses tersebut mengikut aturan dan prosedur yang sepatutnya.

“Setelah hampir lebih 10 jam usaha untuk mendapatkan beliau gagal, kami telah dibenarkan pulang untuk terus membantu pihak Polis bagi menyelesaikan proses tersebut,” katanya lagi.

Jamal yang sebelum ini dituduh sebanyak tiga pertuduhan bagaimanapun menerima tawaran ikat jamin dari pihak majistret sebanyak RM3,000 untuk setiap kes.

Tangkapan dilakukan bersabit satu kes yang disiasat di bawah Seksyen 34 Akta Senjata Api 1960 yang dilaporkan pada 12 Mei 2018 lalu. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.