Orang Awam Perlu Waspada Ambil Antibiotik Tanpa Preskripsi Doktor

ALOR SETAR — Orang ramai diingatkan tidak sewenang-wenangnya mengambil antibiotik tanpa preskripsi atau arahan doktor kerana ia membahayakan serta boleh menyebabkan kerintangan antibiotik terhadap tubuh badan manusia sekiranya diambil sesuka hati tanpa pemeriksaan doktor.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi) Kedah Dali Ismail berkata kerintangan antibiotik berlaku apabila bakteria menjadi kebal kepada antibiotik tertentu iaitu bakteria yang kebal menyebabkan jangkitan bertambah teruk dan tidak boleh disembuhkan dengan antibiotik biasa sekali gus memerlukan antibiotik lebih kuat.

“Setiap kali kita ambil antibiotik, bakteria yang sensitif akan dimusnahkan tetapi bakteria yang kebal akan terus berkembang sehingga hampir kesemua bakteria tersebut jadi kebal kepada antibiotik. Keadaan ini kita panggil kerintangan antibiotik,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dali berkata antibiotik berbeza diperlukan bagi merawat jangkitan bakteria berlainan, dan doktor akan menentukan jenis antibiotik bersesuaian kepada individu terbabit.

“Penggunaan antibiotik berlebihan dan tidak sewajarnya, contoh merawat jangkitan disebabkan virus pada jangkitan salur pernafasan seperti sakit tekak dan batuk biasa dengan antibiotik boleh menjurus kepada kerintangan antibiotik,” katanya.

Selain itu, Dali berkata individu yang tidak menghabiskan antibiotik dalam tempoh ditetapkan seperti yang diarahkan doktor atau ahli farmasi juga boleh menyebabkannya berisiko tinggi menghadapi kerintangan antibiotik di samping berisiko berlaku semula jangkitan.

“Habiskan antibiotik dalam masa ditetapkan seperti yang diarahkan walaupun merasakan diri sudah sihat. Jangan simpan antibiotik yang tidak habis digunakan untuk tujuan rawat sakit yang sama untuk hari lain, sekiranya masih terdapat lagi baki antibiotik, pastikan ia tidak digunakan semula,” katanya.

Katanya lagi antibiotik juga tidak boleh sama sekali dikongsi satu sama lain iaitu jangan sesekali mengambil antibiotik orang lain kerana daya ketahanan badan manusia berbeza yang kemungkinan ada individu alergi dengan sesetengah antibiotik tanpa pengetahuan sendiri.

“Jangan kita ambil antibiotik adik-beradik kita, walaupun makan untuk rawat sakit yang sama. Tidak boleh sama sekali…antibiotik ada banyak jenis, dan doktor boleh tentukan antibiotik sesuai bagi rawat jangkitan tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Dali berkata antibiotik disenaraikan dalam Jadual Pertama Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952 dengan dikelaskan sebagai Racun Berjadual Kumpulan B dan C.

Dali berkata antibiotik dalam senarai Racun Berjadual Kumpulan B pada amnya merangkumi yang boleh dimakan serta disuntik bagi kegunaan manusia dan haiwan dengan ahli farmasi berdaftar memerlukan preskripsi daripada doktor perubatan berdaftar, Pegawai Pergigian Berdaftar dan Pegawai Verterinar Berdaftar sebelum menjual antibiotik itu.

“Antibiotik dalam bentuk dos untuk kegunaan luar seperti salap, krim serta ubat titis mata, hidung dan telinga dikelaskan sebagai Racun Berjadual Kumpulan C. Penjualan antibiotik ini oleh pembantu klinik atau pembantu farmasi tanpa pengawasan ahli farmasi atau tanpa preskripsi daripada doktor perubatan berdaftar, pegawai pergigian berdaftar dan pegawai verterinar berdaftar juga menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952 ini,” katanya.

Dali berkata Pegawai Penguatkuasaan Farmasi di negeri ini sentiasa membuat pemeriksaan rutin dan pengawasan secara berkala ke atas klinik berdaftar dan farmasi berlesen di Kedah yang bertujuan memastikan semua transaksi ubat-ubatan termasuk antibiotik mengikut undang-undang di bawah Akta Racun 1952.

Katanya 230 klinik serta 449 farmasi diperiksa pihaknya sepanjang tahun lepas dengan 13 surat amaran dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk kesalahan seperti almari penyimpanan antibiotik tidak berkunci semasa ketiadaan ahli farmasi yang boleh menjurus kepada penjualan antibiotik oleh pembantu atau orang tidak berkelayakan.

“Terdapat dua kes membabitkan premis farmasi telah dibawa ke mahkamah atas kesalahan pengendalian antibiotik ini iaitu almari penyimpanan antibiotik tidak berkunci semasa ketiadaan ahli farmasi mengikut Akta Racun 1952,” katanya.

Dali berkata hukuman yang diperuntukkan di bawah Akta Racun 1952 bagi kesalahan pelanggaran pengendalian dan transaksi penjualan antibiotik adalah denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Jika kesalahan tersebut melibatkan kesan yang lebih mudarat kepada pesakit atau pengguna, boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.