Pindaan Untuk Tingkatkan Kuasa Mahkamah Syariah – TPM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 bukannya mewujudkan undang-undang baharu sebaliknya meningkatkan lagi kuasa yang ada pada Mahkamah Syariah.

 

Timbalan Perdana Menteri berkata, PAS mengemukakan usul meminda akta berkenaan untuk memperkasakan lagi undang- undang syariah di negara ini.

 

“Pindaan RUU itu meningkatkan lagi fungsi Mahkamah Syariah dan hanya terpakai kepada orang Islam,” katanya mengulas pembentangan usul berkenaan oleh Presiden PAS,  Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Pakatan Harapan terutama DAP dikatakan bimbang usul itu akan membuka ruang kepada pelaksanaan hudud.

 

Ini kerana cadangan usul itu antara lain mahu menaikkan hukuman kesalahan jenayah di Mahkamah Syariah.

 

Pada masa ini, peruntukan hukuman maksimum Mahkamah Syariah adalah tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.

 

Untuk melaksanakan hudud di Kelantan PAS perlu membawa usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

 

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac 2015 meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015.

 

Mengikut laporan, semua 44 anggota dewan meluluskan sebulat suara rang undang-undang berkenaan yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri itu.

 

DUN Kelantan merangkumi 31 wakil PAS, 12 BN dan PKR (1). – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.