Rayer Mencemarkan Nama Baik Seluruh Masyarakat India

TELUK INTAN 25 Mei – Keceluparan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer menggelarkan UMNO sebagai ‘celaka’ telah memalukan dan mencemarkan nama baik seluruh masyarakat India di negara ini.

Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan berkata, sebagai rakyat di sebuah negara yang berbilang kaum, Rayer tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan keterlaluan seperti itu kerana mampu memberi kesan tidak baik pada negara.

Malah tegas Nallakaruppan, perlakuan tersebut juga akan menyebabkan rasa saling menghormati antara kaum yang diamalkan selama ini akan terhakis.

“Tidak patut satu (seorang) India yang ada dalam negara ini cakap macam itu, kita semua kaum India amat malu.

“Negara ini bukan satu bangsa yang duduk tapi pelbagai bangsa. Ada Melayu, Cina dan India. Jadi kita kena hormat semua bangsa dan bukan bertindak sebegitu. Kawan-kawan Melayu saya pun bising, satu India sudah rosakkan nama semua India,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan hamper kepada ibu tunggal dan warga emas kawasan Parlimen Teluk Intan di Bilik Gerakan MIUP di sini hari ini.

Nallakaruppan mengulas keceluparan Rayer dalam sidang DUN Pulau Pinang baru-baru ini yang berulang kali mencela UMNO dengan gelaran celaka sehingga mengundang kemarahan sekumpulan pemuda yang bertindak merempuh bangunan DUN bagi meminta wakil rakyat berkenaan menjelaskan kenyataan biadab tersebut.

Rayer bukan sahaja enggan memohon maaf atau menarik balik kenyataan biadab itu malah mengulanginya pula dalam ceramah terbuka DAP ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor.

Tambah Nallakaruppan, kepimpinan DAP perlu mengambil tindakan tegas terhadap ahlinya itu yang jelas telah menimbulkan suasana tidak elok pada negara selain rasa kurang senang dalam kalangan orang Melayu.

Katanya, siasatan juga harus dilakukan pihak-pihak terlibat sama ada ia dilakukan atas kehendaknya sendiri ataupun hasil hasutan pihak lain dalam DAP.

“Saya pun India dan menyokong Barisan Nasional (BN), tapi saya pun tak pernah cakap DAP macam itu. Kita di Malaysia semua kaum ibarat adik-beradik, jadi semua kena jaga hati satu sama lain.

“Jadi kita minta dia (Rayer) minta maaf pada UMNO dan orang Melayu di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nallakaruppan memberitahu, semua kira-kira 5,000 ahli MIUP di Teluk Intan telah menyatakan sokongan padu mereka kepada calon BN, Datuk Mah Siew Keong.

Katanya, mereka berjanji untuk memberikan kemenangan kepada BN pada 31 Mei nanti.

“Ini kerana mereka melihat kesungguhan Siew Keong yang terus bekerja dan memberi khidmat pada penduduk di sini meskipun telah kalah dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya.

 

One thought on “Rayer Mencemarkan Nama Baik Seluruh Masyarakat India

  • May 26, 2014 at 12:18 pm
    Permalink

    siapa yang rasis…siapa yang tidak rasis…NGO dan parti mana yang tidak rasis…NGO dan parti mana yang rasis…satu persoalan yang sukar dijawab…mungkin masing-masing mempunyai persepsi sendiri untuk menilai siapa yang rasis…inilah yang menjadi ‘dendam’ dalam hubungan kaum di negara ini…bila timbul kesilapan tindakan dan bicara tentang bangsa NGO dan parti kaum tertentu maka akan meletuplah emosi rasis hingga mencetus krisis…sampai bila kita perlu menghadapi masaalah ini…api dalam sekam jangan dianggap mudah kerana ia bolih membakar kawasan sekeliling…bila RSN Rayer [kaum India] menyata ‘UMNO celaka’ emosi perkauman mula membara di kalangan pengikut UMNO [kaum Melayu]…mungkin jika Rayer berkata ‘Melayu celaka’ sudah tentu ia akan membangkitkan kemarahan 60% kaum Melayu…bagitu juga jika kaum Melayu berkata ‘Cina celaka’ atau ‘India celaka’ sudah tentu akan mencetus pergaduhan kaum…olih itu kita perlu menghormati hubungan kaum di negara ini bagi menjaga kesejahteraan dan keamanan hidup…yang ‘celaka’ adalah mereka yang rasuah salahgunakuasa melakukan penyelewengan yang merupakan ‘penjenayah dalam selimut’…mereka yang menjadikan ‘rasis’ untuk merosakan institusi masyarakat dan negara yang rakyat Malaysia perlu hapuskan sebagai ‘pembawa virus’ yang paling bahaya.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.