Rasuah:Ahli PKR Tak Semua Baik

KAJANG – Tidak semua ahli PKR baik dan tidak semuanya jahat, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang laporan penahanan seorang ahli PKR kerana cubaan meminta rasuah.

Menurutnya, PKR sebuah parti terbuka dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan tidak bermoral seperti rasuah ataupun penyalahgunaan kuasa.

“Jika ada rasuah… salah guna kuasa, parti kita sangat berusaha agar perkara ini tidak berlaku.

“Kalau sesiapa tahu perkara itu (rasuah atau salah guna kuasa) berlaku, buatlah laporan. Kita tidak takut ia diselesaikan. Kita sangat terbuka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis meraikan perkahwinan anak perempuan Ketua Umum Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini.

Beliau menyifatkan tidak semua ahli PKR baik begitu juga sebaliknya.

“Jadi, janganlah kita buat cerita-cerita atau fitnah.. Tak semua orang PKR baik semua. Tapi tak semua jahat.

“Jadi kita kena carilah. Kalau tak betul, kena betulkan. Kita tidak akan membiarkan perkara ini berlaku. Tapi jangan pula guna fitnah maknanya ada orang yang jadi terkorban kerana cerita-cerita yang tak betul,” katanya.

Kelmarin, seorang ahli politik telah ditahan oleh pegawai SPRM dalam sebuah operasi di Selangor.

Menurut sumber dari News Straits Times, suspek berusia 32 tahun itu dikatakan sedang meminta wang rasuah sebanyak RM4,000 dari seorang wakil syarikat swasta.

Difahamkan, suspek yang merupakan seorang tokoh terkemuka dari sebuah parti politik daerah Gombak itu kini berada di bawah pengawasan pihak SPRM bagi siasatan lanjut.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Jaafar Mahad ketika dihubungi mengesahkan penangkapan itu namun enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Abdul Khalid optimis melihat beliau tetap berpeluang memenangi jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan PKR 2014.

“Ada (peluang). Tak jadi masalah. Sebab parti kita ini pemilihan oleh semua ahli-ahli. Sistem pemilihan itu mesti betul. Kalau dah betul terpulang kepada ahli untuk memilih pemimpin.

“Pada saya kalau saya dah tawarkan diri, tak kanlah saya kata tak perlu dipilih. Saya pun mesti ditawarkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.