Op Cantas: Polis Johor Tahan 9,072 Orang

JOHOR BAHRU 25 Mei – Polis Johor menahan 9,072 orang atas pelbagai kesalahan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini menerusi Op Cantas di seluruh negeri ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kesemua yang ditahan itu adalah hasil pemeriksaan ke atas 528,672 orang dan seramai 3,496 pula sudah didakwa.

“Kejayaan itu adalah hasil komitmen polis negeri ini untuk membanteras kegiatan jenayah dan kita tidak akan berhenti setakat itu sahaja, malah akan giatkan lagi pelbagai operasi.

“Ini juga diharap meningkatkan keyakinan masyarakat kepada polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Datuk Hasnan Hassan; Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh dan Ketua Polis Daerah Kluang, Mohd. Roze Shaari.

Mohd. Mokhtar berkata, sepanjang tempoh itu juga sebanyak 305,000 kenderaan diperiksa selain merampas 10 jenis senjata api pelbagai jenis, 4,011 butir peluru dan 24 senjata tiruan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.

Dalam perkembangan berasingan, beliau memberitahu, pihaknya menahan empat lelaki berusia antara 21 hingga 30 tahun dan merampas sepucuk pistol tiruan dan sebatang kayu besbol, hasil pemeriksaan sebuah kereta di Taman Century di sini, Rabu lalu.

Katanya, pistol dan kayu besbol berkenaan ditemui disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang hadapan.

“Semakan rekod mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih setahun dan denda RM5,000.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.