Murid Malaysia Kemalangan Di Perth Tiba Di Tanah Air

SEPANG: Sepuluh murid Malaysia yang terlibat kemalangan di Perth, Australia pada Rabu lepas, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini Ahad malam.

Ketibaan mereka dan empat guru pengiring itu disambut Pengarah Pendidikan Selangor, Datuk Mahmud Karim.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mahmud berkata kesemua mereka berada dalam keadaan baik dan hanya mengalami cedera ringan serta berjaya menyelesaikan semua aktiviti yang dirancang di sana.

“Seorang lagi guru tidak dibenarkan pulang oleh pihak hospital kerana masih menjalani rawatan pergelangan kaki dan tangan, manakala seorang lagi pelajar dibawa pulang sendiri oleh ibu bapanya,” katanya.

Dalam kejadian itu, bas yang membawa 21 penumpang terdiri daripada murid berusia antara 10 dan 12 tahun serta guru dari Malaysia dan Indonesia terbabas di kawasan pergunungan di selatan Perth.

Kumpulan terbabit dalam perjalanan ke Tasik Leschenaultia, 50 kilometer di selatan Perth, bagi mengikuti satu seminar pendidikan alam sekitar.

Mengulas lanjut, Mahmud berkata kumpulan dari Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam itu tiba di Perth pada 20 Mei lepas.

Seorang murid, Aishah Ahmad Firdaus, 12 berkata dia hanya tersedar bas terbabas selepas mendengar jeritan beberapa orang murid dan guru.

Sementara itu, guru pengiring Noraidah Badaruzaman, 33, berkata walaupun dalam kesakitan selepas kejadian, ingatan beliau hanya untuk menyelamatkan anak muridnya.

“Keadaan masa tu kabus sangat tebal dan merupakan kawasan bukit, bas juga tidak dipandu laju iaitu tidak lebih 50 km sejam,” kata guru mata pelajaran Seni Visual dan Bahasa Malaysia itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.