Militan LTTE Ditangkap

KUALA LUMPUR 25 Mei – Tiga warganegara asing disyaki anggota kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) ditangkap dalam operasi Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Petaling Jaya dan Klang, Selangor pada 15 Mei lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika mengesahkan perkara itu berkata, ketiga-tiga yang ditangkap menyusup masuk ke negara ini sejak 2004 dan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk mengumpul dana, menyebar propaganda dan mengaktifkan kembali LTTE di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kesemua mereka memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk menetap di Malaysia dengan seorang daripadanya dikesan turut memiliki permit pekerjaan atas sebuah syarikat.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati, syarikat tersebut tidak wujud,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Dalam tangkapan itu, Khalid memberitahu, polis menemui bahan propaganda kumpulan LTTE, peralatan media dan mata wang asing daripada 24 negara yang keseluruhannya bernilai RM20,176.53.

Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 sementara menunggu tindakan susulan.

Khalid menjelaskan, pihaknya akan menjalinkan kerjasama rapat bersama pejabat UNHCR di ibu negara bagi memastikan anasir-anasir pengganas asing tidak mengeksploitasi kemudahan kad UNHCR untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi militan.

“Kita menentang sebarang usaha menghidupkan elemen militan di negara ini dan pihak berkuasa akan sedaya upaya cuba menghapuskan sama sekali aktiviti keganasan sama ada yang boleh mengancam keselamatan Malaysia mahupun negara-negara luar,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.