Mereka Yang Bertahan Dalam Lingkaran Maut

STUDIO Malay Film Productions (MFP), Jalan Ampas, Singapura ditutup secara rasminya pada 30 November 1967. Mula beroperasi sejak 1947 selepas Perang Dunia Kedua dengan filem sulung mereka berjudul Singapura Di Waktu Malam arahan B.S. Rajhans.

Filem ini dibintangi barisan pelakon Siput Sarawak, Bachtiar Effendy dan Jaafar Wiryo.

Filem terakhir diproduksikan oleh MFP berjudul Raja Bersiong dalam warna Eastmancolor dan cinemascope arahan Jamil Sulong berdasar skrip karya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Selepas penutupan studio MFP, antara tahun 1968 hingga tahun 1973 penghasilan filem-filem Melayu masih terus diusahakan oleh syarikat Cathay Keris juga berpusat di Singapura.

Di antara filem-filem terbitan Cathay Keris ialah filem-filem siri ‘Mat’ arahan Mat Sentol seperti Mat Bond, Mat Raja Kapor (1967), Mat Lanun (1968), Mat Toyol (1969), Mat Karong Guni (1970), Mat Magic (1971) dan Darakula (1973).

Mat Sentol merupakan pengarah yang produktif dan inovatif mengarahkan tujuh filem ketika zaman kemerosotan filem Melayu. Untuk menarik penonton, Mat Sentol banyak bereksperimen dengan special effect dan teknik animasi yang memberi kelainan kepada filem-filem arahannya.

Mat Sentol juga berjaya menjemput John Calvert, seorang ahli silap mata terkenal dari England yang berada di Singapura mengadakan pertunjukan ketika itu untuk berlakon dalam filem arahannya Mat Magic (1971).

Tetapi kelainan filem-filem Mat Sentol masih gagal menarik penonton ke panggung seperti pada era kegemilangan filem Melayu tahun 50an dan awal 60an. Apa pun Mat Sentol adalah pengarah filem Melayu dalam kelasnya tersendiri.

M Amin atau nama sebenarnya Muhammad Amin Ihsan (1924 – 2003) merupakan seorang lagi pengarah Cathay Keris yang terus berkarya walaupun kesuraman menyelubungi dunia filem Melayu.

Antara 1967 hingga 1973 M Amin mengarah lebih kurang 13 filem berbagai genre sebelum beliau berpindah ke Merdeka Studio, Ulu Kelang pada 1974. Di antara filem-filem arahan beliau ketika di Cathay Keris (jumlah ini tidak termasuk filem-filem arahan awal beliau sebelum 1967) ialah Dosa Wanita (1967), Pop Muda (1968), Srikandi (1969), Sial Wanita (1969), Puaka (1970), Jahanam (1971), Satu Titik Di Garisan (1972) dan filem terakhirnya dengan Cathay Keris, Hati Batu (1973). M Amin hanya mengarah tiga filem di Merdeka Studio.

Filem-filem Penyamun Si Bongkok, Satu Penentuan dan Pertiwi dalam masa setahun 1974.

Seorang lagi pengarah Cathay Keris yang terus mengarah ketika zaman kejatuhan filem Melayu itu ialah Nordin Ahmad (1932 – 1971). Antara 1967 hingga 1971, beliau mengarah enam filem berjudul Playboy (1967), Kekasih (1968), Simurai (1968), Nafsu Belia (1969), Keranda Berdarah (1969), Lobang Neraka (1970) sebelum meninggal pada usia baharu 39 tahun kerana mengidap demam kuning.

Ada juga bekas pelakon MFP menerbitkan filem secara independant selepas penutupan studio MFP Jalan Ampas. Pelakon Ahmad Mahmud pernah menerbit dan mengarahkan filemnya sendiri berjudul Di Antara Dua Nesan (1968).

Filem ini menggunakan format penggambaran 16mm untuk di blowup ke 35mm. Filem ini tidak ditayangkan di panggung kerana mutunya rendah. Apa pun filem Di Antara Dua Nesan boleh dianggap sebagai filem indie Melayu pertama dihasilkan. Satu keberanian yang luar biasa daripada pelakon dan pengarah Ahmad Mahmud. Salut!

Sementara itu di Kuala Lumpur, antara 1967 hingga 1978 syarikat Merdeka Film Productions masih lagi menerbitkan filem yang diarahkan oleh P Ramlee, S Kadarisman, Omar Rojik, Naz Achnas, Diresh Ghosh dan Jamil Sulong. Tiga tahun sebelum MFP ditutup P Ramlee berpindah dari studio Jalan Ampas, Singapura ke Merdeka Studio Ulu Kelang pada 1964.

Studio MFP di Singapura terpaksa ditutup kerana masalah mogok pekerja menuntut kenaikan gaji. Ditambah dengan kemerosotan dari segi sambutan penonton dan kutipan filem-filem Melayu ketika itu.

Filem-filem Melayu baik terbitan MFP mahupun Cathay Keris mula tidak mendapat sambutan penonton. Salah satu sebabnya adalah kerana kemunculan televisyen.

Televisyen dilancarkan pada 1963 di Malaysia dan menjadi kegilaan ramai.

Program-program televisyen menjadi medium alternatif kepada rakyat. Televisyen memberi satu bentuk hiburan baharu kepada rakyat negara ini. Mereka tidak perlu bersusah payah ke panggung untuk mencari hiburan.

Hiburan datang secara mudah ke ruang tamu rumah mereka baik di bandar atau di kampung.

Syarat utama yang perlu ada ialah kemudahan bekalan elektrik di kawasan-kawasan pinggir bandar dan kampung-kampung.

Selain pengaruh televisyen, tidak dapat dinafikan filem-filem Melayu keluaran tahun-tahun selepas penutupan MFP sememangnya jauh ketinggalan dari segi idea, cerita dan teknik penggambaran terkini masa itu.

Tahun awal 70an merupakan era kejatuhan dan kemuraman filem-filem Melayu selepas melalui era kegemilangan pada tahun-tahun 50an sehingga 60an.

Saingan dari filem-filem keluaran Hollywood, Bollywood (masa itu belum ada ungkapan Bollywood hanya dikenali filem Hindustan), filem-filem Hong Kong dan Indonesia ditayangkan di negara kita semuanya dalam warna dan bentuk bidang luas dikenali sebagai cinemascope.

Filem-filem Melayu pasca penutupan studio MFP, Jalan Ampas sama ada yang dihasilkan oleh Cathay Keris mahupun Merdeka Studio masih lagi dalam bentuk hitam putih. Ini merupakan salah satu sebab kurangnya minat orang menonton filem-filem Melayu.

Aku melihat kejatuhan dan merudumnya filem-filem Melayu ketika itu berkait rapat juga dengan sikap dan jati diri bangsa Melayu sendiri. Walaupun pendapat aku ini bukan berdasarkan kajian ilmiah tetapi lebih kepada pengamatan aku terhadap suasana kehidupan yang aku lalui pada zaman remajaku ketika itu.

Rata-rata orang-orang Melayu baik remaja dan dewasa bila ditanya sama ada mereka tonton filem Melayu atau tidak akan berasa bangga memberi jawapan – “I tak tengok filem Melayu” atau “I tak minatlah filem Melayu”.

Sikap ini ketara pada golongan Melayu kelas menengah dan atasan terutamanya yang berpendidikan Inggeris.

Golongan ini juga merupakan kelompok masyarakat Melayu yang ada kekuatan ekonomi. Mereka lebih berkemampuan untuk menonton dibandingkan dengan golongan marhaen. Sehingga hari ini sukar aku mentafsirkan kenapa mereka bersikap begitu.

Aku masih lagi berjumpa orang-orang Melayu yang bersikap begini sekarang. Aku berani membuat kesimpulan bahawa keadaan sebegini masih belum berubah. Kenapa?

Aku juga berlatar belakangkan pendidikan Inggeris tetapi aku tonton juga filem Melayu, di samping menonton filem-filem barat pada zaman remaja dan sehingga sekarang. Ketika itu aku tidak terfikir untuk menjadikan bidang filem ini sebagai kerjaya masa depan aku.

Sejujurnya aku katakan walaupun aku tahu filem-filem Melayu ketika itu ‘teruk’ tetapi aku tetap menonton kerana pada aku apa yang dipaparkan dalam filem-filem itu aku faham dan dekat dengan diri aku baik secara fizikal, mental dan paling penting spiritual.

Ini pendapat peribadi aku dari dulu hingga sekarang. Muktamad.

Untuk berlaku adil kita perlu akui bahawa sememangnya saingan filem-filem luar memang tidak mampu ditandingi oleh pengarah-pengarah kita terutama dari aspek teknikal dan modal.

Filem sebagai satu produk dalam sistem ekonomi kapitalis yang mengutamakan keuntungan terpaksa berdepan dengan persaingan untuk menarik pembeli (baca penonton).

Jika ada pihak dengan modal lebih besar boleh menghasilkan produk lebih ‘gempak’ maka kita tidak boleh menyalahkan pembeli (penonton) lebih tertarik kepada produk pesaing kita.

Objektif utama pemodal adalah mengaut sebanyak mungkin keuntungan.

Masalah pembikin filem Melayu dahulu dan sekarang pembikin filem Malaysia adalah sama – kita berdepan dengan satu vicious circle – lingkaran maut!

Seniman Agung P Ramlee merupakan ‘panglima’ paling handal dalam gelanggang filem Melayu juga tumpas di penghujung hayatnya ditelan oleh lingkaran maut ini!

Pembikin filem kita sekarang, bagaimana?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.