Gadis Ditikam Oleh Lelaki Tidak Dikenali

KOTA BHARU -Seorang gadis berusia 17 tahun, cedera di bahagian bawah dada kanan selepas ditikam lelaki yang tidak dikenali ketika membonceng motosikal bersama sepupunya di Jambatan Pak Nik Lah, Panchor di sini, malam Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, mangsa dalam perjalanan untuk menghantar sepupunya dihampiri lelaki terbabit, sebelum ditikam menggunakan pisau.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, melihat keadaan mangsa berlumuran darah, sepupunya menghentikan motosikal berdekatan kedai makan sebelum mangsa dibantu orang ramai.

“Mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan susulan kerana cedera di lengan kanan dan di bahagian bawah dada. Mangsa dilaporkan stabil.

“Berdasarkan keterangan mangsa, dia tidak mempunyai musuh dan tidak mengesyaki sesiapa kerana dia juga  tidak mengenali suspek,” katanya.

Azham berkata, hasil siasatan awal, dipercayai mangsa diserang kerana cemburu, namun mangsa masih belum mengesahkan dan siasatan diteruskan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata berbahaya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.