Boikot Produk Coklat Cadbury

SHAH ALAM – Kesal dengan penemuan DNA babi di dalam sampel Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam yang dikeluarkan oleh Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd, Persatuan Ulama Malaysia menggesa umat Islam memboikot semua produk keluaran syarikat tersebut.

Menurut  Setiausaha Agungnya, Prof Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor dalam satu kenyataan, tindakan tegas perlu diambil terhadap syarikat Cadbury dengan mengenakan denda yang berat serta menggantung lesen pensijilan halal kepada syarikat itu sebagai langkah penguatkuasaan halal dikenakan kepada syarikat yang tidak mematuhi pengeluaran produk yang telah diberi sijil halal tersebut.

Langkah ini perlu dilakukan sehingga syarikat itu memberi jaminan yang boleh dipercayai serta diyakini agar perkara ini tidak berulang lagi pada masa akan datang. Pihak berkuasa juga disaran memantau dengan lebih dekat proses pengeluaran produk itu untuk satu tempoh 1 hingga 3 bulan sebelum pensijilan halal diberikan semula kepada syarikat tersebut.

Dalam kenyataan itu, PUM menasihatkan syarikat besar tidak mempermain atau mempersenda perkara halal dalam produk yang dikeluarkan. Pengguna dan umat Islam tidak teragak-agak untuk memboikot mana-mana produk yang didapati mencemari halal dengan memasukkan unsur tidak halal sama ada dengan sengaja ataupun tidak.

Menurut Mohd Roslan, PUM juga sangat kesal kerana syarikat Cadbury ini tidak langsung menyatakan permohonan maaf secara terbuka. PUM menggesa supaya mereka memohon maaf kepada pengguna terhadap perkara ini. Sekadar menarik balik produk tanpa permohonan maaf menunjukkan keangkuhan syarikat tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.