TAPAH, – Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan kemenangan selesa malam ini.
Calon BN, Dr. Mohamad Yusri Bakir, diumumkan menang dengan majoriti tidak rasmi sebanyak 4,812 undi selepas kesemua 67 saluran selesai dikira.
Beliau menewaskan pencabar daripada Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek, serta calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.
Kemenangan ini menjadi isyarat jelas bahawa BN terus mengekalkan sokongan kuat dalam kalangan pengundi luar bandar, khususnya di negeri Perak.
Pilihan raya kecil ini diadakan susulan kematian penyandang, Ishsam Shahruddin, pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung. Sebanyak 31,281 pengundi berdaftar layak mengundi dengan kadar keluar mengundi sekitar 54%.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menerusi hantaran di Facebook mengucapkan rasa syukur atas kemenangan tersebut.
“Keputusan Tidak Rasmi: BN menang dengan majoriti 4,812 setelah kesemua 67 saluran dikira di PRK DUN Ayer Kuning. Alhamdulillah,” katanya ringkas.
Keputusan rasmi diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat penjumlahan undi di Dewan Merdeka, Tapah.