Oleh Zihan Zari
PASIR SALAK -Semangat inovasi dan kecekapan teknikal pasukan Autosas Racing Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), terserlah apabila berjaya meraih pencapaian cemerlang dalam pertandingan Formula Student Malaysia (FSM 2025) di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah dekat sini, baru-baru ini.
POLISAS dalam kenyataannya berkata Autosas Racing telah menghantar dua buah kereta lumba binaan pelajar dalam dua kategori iaitu Electric Vehicle (EV) dan Formula SAE (FSAE).
Menariknya, penyertaan dalam kategori EV ini merupakan kali pertama bagi POLISAS, walaupun institusi ini telah aktif menyertai perlumbaan kereta formula sejak 2011.
“Penampilan sulung, pasukan ini berjaya membuktikan kemampuan luar biasa, apabila berjaya meraih kemenangan bagi kategori EV iaitu tempat kedua keseluruhan, tempat ketiga bagi ujian masa dan tempat ketiga bagi pembentangan rekaan, ”kata kenyataan itu.
“Manakala, dalam kategori FSAE, POLISAS turut mencipta kejutan apabila jentera 135cc bersaing dalam kategori jentera 800cc, menandingi tujuh pasukan lain yang menggunakan kapasiti enjin jauh lebih besar.
“Meskipun mempunyai kapasiti enjin paling kecil, pasukan POLISAS berjaya membuktikan keunggulannya apabila merangkul tempat ketiga keseluruhan dan kedua bagi ujian masa, ”katanya lagi.
Dalam pada itu, Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim berkata, kejayaan ini mencerminkan semangat juang tinggi, kreativiti kejuruteraan dan kerjasama padu dalam kalangan ahli Autosas, terdiri daripada pelajar diploma Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Kejuruteraan Awam.
“Pertandingan sebegini sangat baik dalam usaha mencungkil bakat pelajar untuk berinovasi dalam pendidikan dengan mengaplikasikan pembelajaran kepada pembinaan dan pembuatan automotif, di samping memupuk nilai-nilai murni kerja berpasukan.
“Sebagai satu pasukan, para pelajar khususnya memainkan peranan penting, dengan bantuan pensyarah dari bidang mekanikal (automotive, welding, machining, design dan CAD), pensyarah dari bidang elektrik (programing dan wiring) serta dengan kerjasama staf sokongan”, katanya.
Sementelah, Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal POLISAS, Nik Mohd Haikal Mohamed Hasan berkata, proses pembinaan dua buah jentera iaitu EV dan Internal Combustion Engine (ICE) mengambil masa selama enam bulan.
“Ianya melibatkan seramai 35 tenaga pengajar dan 20 pelajar Kejuruteraan Mekanikal (bidang automotif dan mekanikal am) serta seorang pelajar Kejuruteraan Awam yang bertanggungjawab menyiapkan reka bentuk jentera.
“Kami amat berbangga dengan pencapaian luar biasa pelajar-pelajar kami, ini bukan sahaja mengenai kemenangan semata-mata, tetapi lebih kepada bagaimana mereka menyelesaikan cabaran teknikal dengan penuh inovasi,” ujarnya.
“FSM merupakan acara tahunan yang menghimpunkan institusi pendidikan teknikal dari seluruh negara untuk mempamerkan kepakaran melalui reka bentuk, persembahan dan prestasi jentera lumba buatan pelajar.
“Kejayaan ini sekali lagi membuktikan kehebatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam melahirkan bakat muda yang berkualiti tinggi serta bersedia menghadapi cabaran industri sebenar, ”ujarnya lagi.
Kejayaan POLISAS menyertai kejohanan berprestij ini boleh ditonton melalui pautan:
https://www.youtube.com/watch?v=7yK4rLp4MvA atau
https://www.youtube.com/watch?v=sF3jb8d5p7M
-SUARA.TV