BAGAN DATUK, – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa teruja apabila menyertai warga Universiti Selangor (UNISEL) dalam program Jelajah Malaysia MADANI UNISEL Depani yang berlangsung di sini hari ini.
Menurutnya, suasana karnival yang meriah dengan kehadiran anak-anak muda UNISEL memperlihatkan semangat luar biasa serta sokongan kuat terhadap inisiatif mendekati masyarakat.
“Karnival Raya Bagan Datuk kali ini adalah manifestasi komitmen UNISEL dalam memperkasakan pendidikan, mendekati masyarakat, dan membuka peluang baharu untuk anak-anak muda di peringkat akar umbi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UNISEL yang proaktif menyahut seruannya untuk memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya selepas pengumuman UNISEL sebagai institusi keenam dalam rangkaian Malaysian Technical University Network (MTUN).
Karnival yang berlangsung selama tiga hari ini dijangka berakhir esok, dengan pelbagai peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang TVET ditawarkan kepada pengunjung, khususnya lepasan SPM.
Beliau turut mengajak orang ramai hadir ke Dataran Waterfront Bagan Datuk untuk bersama-sama memeriahkan acara dan merebut peluang yang ditawarkan.