KUALA LUMPUR – Dua ujian seterusnya yang akan menentukan sama ada kerajaan perpaduan Anwar akan dapat bertahan selama penggal penuh lima tahunnya adalah Sidang Parlimen Mei-Jun dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri — Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.
Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, sidang Parlimen Mei-Jun yang akan datang ini amat penting untuk Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pada penghujung sidang ini, lebih ramai rakyat Malaysia patut bersemangat dan merasakan yang kerajaan perpaduan Anwar dapat menyelamatkan Malaysia dari menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik.
“Ini kerana adanya usaha menetapkan semula negara kita ke arah prinsip pembinaan negara bangsa Malaysia yang majmuk yang dipersetujui oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (termasuklah tiga Perdana Menteri terawal negara yang juga merupakan Presiden Umno) dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – untuk kita semua menyedari bahawa Malaysia adalah tempat yang melahirkan juara dunia seperti dalam Piala Thomas pada tahun lima puluhan dan enam puluhan dan juga satu contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Selain itu, menurut Kit Siang lagi PRN di enam negeri, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu pada bulan Julai/Ogos akan membuktikan bahawa tidak wujud “gelombang hijau” dan aspirasi kerajaan perpaduan Anwar untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia mendapat sokongan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum, agama, atau kawasan.
“Sekiranya orang Cina, India, Kadazan, dan Dayak di Malaysia merasakan yang ada rancangan jahat untuk menghapuskan kaum, agama, atau budaya mereka, mereka akan bersatu dan berlawan habis-habisan.
“Begitu juga, sekiranya orang Melayu dibuat untuk percaya bahawa ada rancangan jahat untuk menghapuskan kaum Melayu dan agama Islam, mereka akan menentang dan melawan habis-habisan.
“Tetapi, tidak ada sebarang rancangan jahat sebegini untuk menghapuskan sama ada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak, atau agama mereka mahupun budaya mereka,” ujarnya.
Menurut beliau, perlu ada usaha besar-besaran untuk menghapuskan persepsi salah yang kononnya kaum, agama, dan budaya orang Melayu sedang terancam dan akan dihapuskan, kerana tidak ada sebarang ancaman sebegini yang wujud.
“Perkara ini dapat dilihat dari kehadiran meriah dari pelbagai kumpulan etnik dan agama pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri, baik yang dianjurkan oleh kerabat diraja, pemimpin politik, atau rakyat biasa – menjadi bukti semangat solidariti dan keterbukaan Malaysia dalam kalangan rakyat boleh melangkaui perbezaan kaum, agama, dan budaya dan menjadi petanda yang Malaysia mampu menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun,” katanya.
Kit Siang juga menyebut, mesej tunggal yang cuba dicanang oleh Bersatu dan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) adalah kononnya orang Melayu sedang diancam dan orang Melayu telah kehilangan semua hak politik dan ekonomi sedangkan mesej ini dibentuk berasaskan kepada penipuan, fitnah, dan berita palsu di media sosial.
“Siapakah yang menyebabkan Tun Mahathir Mohamad kehilangan depositnya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 di Langkawi?
“Dia adalah calon Bersatu, Mohd Suhaimi Abdullah, yang telah mengalahkan Mahathir tetapi baru-baru ini diberikan amaran dan denda sebanyak RM25,000 untuk kesalahan ketidakpatuhan korporat semasa dia menjadi penubuh dan pengarah urusan Silver Ridge Holdings Bhd dan untuk kesalahan melanggar syarat Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia apabila dia tidak mengisytiharkan penerimaan surat anugerah (LOA) yang diterima oleh Silver Ridge dari Telekom Malaysia pada 4 Mei 2021 untuk kontrak yang bernilai RM20.6 juta.
“Ini adalah satu kes di mana Mahathir telah menjadi mangsa politik Dasar Ekonomi Baharu (DEB) — di mana DEB mencipta jutawan dalam kalangan beberapa orang Melayu sedangkan majoriti orang Melayu masih berada dalam kategori B40,” katanya.