PELAKON cilik Telefilem Jalan Pulang, Adam Darwish tampil sebagai peranan penting dalam filem terbaharu, Tujuh Dua Belas yang akan ditayangkan bulan depan.
Adam Darwish, 15, berkata, pembabitannya dalam bidang lakonan bukan kerana minat, tetapi berhasrat ingin membantu ibunya yang menghidap masalah anxiety dan bipolar.
“Selain minat dalam bidang lakonan, saya cuma cari duit untuk tolong ibu saya saja sebenarnya. Kadang-kadang saya tolong bagi duit bayar kos rawatan ibu. Secara tak langsung saya dapat rasa kepenatan yang dirasai ayah semasa mencari rezeki buat kami sekeluarga.
“Saya rasa lega sebab sedikit-sebanyak saya dapat bantu keluarga walaupun saya masih kecil,” katanya.
Bagaimanapun, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Setiawangsa ini tidak akan mengabaikan pelajarannya walaupun sibuk berlakon.
“Saya mengikuti kelas tuisyen tiga kali seminggu supaya saya tidak ketinggalan dalam pelajaran di sekolah,” katanya.
Ditanya mengenai pengalamannya berlakon dalam filem ini, Adam berkata, watak yang dibawa agak mencabar pada usianya yang muda ini.
“Saya dapat rasakan derita kanak-kanak yang diculik menerusi watak ini. Kadang ada juga saya terfikir, apa sebenarnya berlaku kepada kanak-kanak hilang diculik,” katanya
Apa yang menarik, Adam berlakon di bawah arahan datuk sendiri, Thorpe Ali dan ini adalah pengalaman menyeronokkan dan berharga.
Sikap profesional Thorpe ketika di set penggambaran semasa memberi arahan dan bimbingan sangat jelas membuatkan Adam tidak kekok untuk berganding bersama.
Harian Metro