Salurkan Bantuan Tunai Kepada Mangsa Banjir Sebelum Aidilfitri- Hannah Yeoh

Press Conference: Announcement on completed road resurfacing and parking demarcation works at Taman Bukit Maluri Morning Market

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa meluluskan sumbangan bantuan tunai kepada mangsa banjir di Kuala Lumpur sebelum Hari Raya.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk segera meluluskan bantuan sumbangan tunai sekurang-kurangnya RM1,000 bagi mereka yang terkesan.

“Banjir kilat telah berlaku semalam di beberapa lokasi seperti Kampung Segambut Luar, Kampung Segambut Dalam, Kampung Masjid Segambut, Kampung Segambut Bahagia, Kampung Segambut Bahagia Tambahan, Kolam Air dan Kampung Kasipillay.

“Saya telah sempat melawat beberapa lokasi semalam dan berjumpa dengan penduduk yang terkesan,” kata Hannah dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, hasil tinjauan di tapak telah menunjukkan kerosakan harta benda yang teruk.

“Banyak rumah telah dimasuki air sedalam 2 kaki dan ramai penduduk terpaksa membuang tilam dan perabot rumah. Terdapat juga pelajar yang mengalami kerosakan buku dan beg sekolah. Kenderaan juga rosak akibat ditenggelami air.

“Memandangkan Hari Raya semakin dekat dan persiapan menyambut perayaan ini telah terjejas dengan teruk, saya menggesa Perdana Menteri dan Menteri Wilayah untuk segera meluluskan bantuan sumbangan tunai sekurang-kurangnya RM1000 bagi mereka yang terkesan,” gesa Hannah.

Dalam pada itu katanya, keperluan mencari jalan penyelesaian kepada masalah banjir di Kuala Lumpur semakin kritikal.

Jelas Hannah, setiap kali ia berlaku, kerosakan harta benda dianggarkan berjuta-juta.

“Alasan taburan hujan yang tinggi sudah tidak boleh digunapakai jika modus operandi kerajaan masih tidak berubah.

“Ini sudah tahap bencana setiap kali ia hujan di Kuala Lumpur,” tegas beliau.