“Syarat Denda RM10 Juta Kerana PKR Tidak Yakin Kesetiaan Calon”

SHAH ALAM – Tidak yakin dengan kesetiaan calon sendiri dan bimbang akan ada calon yang menang dalam Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti melompat parti dipercayai adalah gambaran sebenar punca PKR meletakkan syarat denda RM10 juta terhadap calon-calonnya dalam PRU kali ini.

Memetik laporan Antarapos, penganalisis politik Dr Kamarul Zaman Yusof berkata, jika PKR yakin dengan tahap kesetiaan calonnya, sudah tentu parti yang menggunakan logo mata inspirasi dari ‘mata lebam’ Anwar Ibrahim itu tidak akan meletakkan denda yang sebegitu tinggi.

“Saya rasa ini melambangkan ketidakyakinan dan ketidakpercayaan PKR terhadap calon wakil rakyatnya.

“Jika mereka yakin, sudah tentu jumlah ini tidak dinaikkan sebegitu tinggi,” katanya sebagai mengulas kenyataan media PKR yang mengesahkan mereka mengenakan denda RM10 juta sekiranya ada calon PKR melompat parti selepas memenangi PRU14.

Semalam Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPT) PKR, Datuk Johari Abdul, mengakui langkah tersebut dilakukan untuk mengekang tindakan wakil rakyat PKR keluar parti dan semua calon telah menandatangani perjanjian tersebut pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Kamarul menyifatkan tindakan PKR cuba mengikat kesetiaan calonnya melalui syarat denda kewangan sebagai sesuatu yang tidak kukuh dan menonjolkan betapa rapuhnya asas perjuangan ahli serta pemimpin PKR.

“Ini berbeza dengan PAS, sekadar memerlukan bai’ah dan nama tuhan. Jadi nak ikat seseorang calon dengan kebendaan dan wang ringgit, tidak akan berhasil.

“Hasilnya tidak begitu mencapai matlamat parti kerana ikat dengan wang ialah suatu ikatan yang tidak kukuh. Kalau nak lompat boleh je kalau ada pihak yang memberi RM10 juta kepada calon yang bertanding,” jelasnya.

Dalam konteks yang lain, Dr Kamarul turut menyifatkan tindakan itu juga menggambarkan PKR tidak yakin gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) mampu menang selesa dalam PRU14.

“Menggambarkan ketidakyakinan PKR sendiri terhadap kemampuan PH untuk menang selesa dalam PRU14. Kalau yakin PH boleh menang maka tidak perlu adanya ikatan sebegini.

“Apa yang bermain dalam fikiran PKR ialah jika menang pun maksudnya menang dalam keadaan yang tidak selesa yang memerlukan jaminan dan ikatan sebegini untuk elak calon lompat parti.

“Ketakutan itu adalah sesuatu yang ‘real’ dan wujud. Ini menggambarkan bahawa ada sesuatu masalah dalam proses indoktrinasi ahli PKR.

“Seperti mana yang saya lihat ramai ahli baru dalam PKR sebab itu masalah ini timbul,” tambahnya lagi.

Pada PRU13 yang lalu PKR turut melaksanakan langkah sama dengan syarat denda yang dikenakan ialah RM5 juta.

Mengikut rekod, pada 2016 seramai tiga orang wakil rakyat PKR telah bertindak keluar parti melibatkan Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Terrence Siambun yang menyertai Parti Warisan Sabah yang diketuai Datuk Shafei Apdal

Manakala ADUN Klias. Datuk Seri Lajim Ukin selepas keluar PKR telah membentuk Parti Harapan Rakyat Sabah yang kini merupakan seteru PKR di negeri berkenaan.

Ketiga-tiga bekas wakil rakyat PKR itu bagaimanapun dilaporkan tidak membayar satu sen pun dari denda lompat parti RM5 juta yang ditetapkan PKR sebelum ini. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.