Video ‘Fitnah’ Najib: Polis Arah Pua Ke Bukit Aman

Pihak polis hari ini mengarahkan ahli parlimen DAP Tony Pua untuk hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur pagi esok.

Pua ketika dihubungi Malaysiakini, berkata, kehadirannya diperlukan berhubung siasatan sebuah klip video di Facebook berhubung kenyataannya yang didakwa memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Ini berkaitan dengan video yang Najib saman saya…

“Seseorang membuat laporan polis ke atasnya. Saya tidak tahu apa yang polis mahu tanya, tetapi saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya.

Pua juga enggan membuat spekulasi berhubung siapa yang mendalangi laporan polis itu.

Jumaat lalu, Najib memfailkan saman fitnah terhadap Pua berhubung kenyataannya dalam rakaman sebuah klip video di Facebook mengenai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Dalam surat tuntutan yang disampaikan kepada Pua itu, peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata klip video yang dipersoalkan itu memberi bayangan bahawa anak guamnya mencuri dan menyalahgunakan kuasa.

Katanya, video itu memfitnah anak guamnya mengikut Seksyen 5 Akta Fitnah 1957 terhadap jawatannya selaku perdana menteri dan menteri kewangan yang bermaksud beliau menyalahgunakan kuasa.

Plaintif berkata, ia bermaksud beliau memberikan arahan melalui kabinet kepada Speaker Dewan Rakyat supaya mengusulkan rang undang-undang persendirian dan mengetepikan rang undang-undang lain.
Ini adalah saman fitnah kedua Najib terhadap Pua. Beliau mendakwa Pua pada tahun 2015 mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan dirinya dengan skandal 1MDB.

Pua juga memfailkan saman terhadap Najib, tahun ini, kerana kesalahan “misfeasans di pejabat awam”.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.