Penemuan Makam Sultan Kedah Ke 16

Selepas penemuan makam Sultan Kedah ke-14, Sultan Muhyiddin Mansur Shah bulan lalu, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) berjaya menemui satu lagi makam berusia 330 tahun dipercayai milik Sultan Kedah ke-16, Sultan Ataullah Muhammad Syah II di Kampung Bukit Pinang.

Sembilan buah kubur bersama batu nisan itu ditemui ahli PSMCK, Zamri Abd Wahab, pada 23 Mac lepas dan ia terletak betul-betul di tepi sungai di Kampung Bukit Pinang, lapor Kosmo.

Kesemua makam tersebut yang tersusun rapi dalam satu barisan dan seolah-olah dipayungi oleh pokok buluh yang merimbun di situ.

Ketua Biro Penerbitan dan Pemasaran yang juga Pengarang Kehormat PSMCK, Dr. Ibrahim Bakar berkata, kesemua ukiran nisan berkenaan menunjukkan ia berasal dari Acheh, Indonesia dan kebiasaannya hanya digunakan oleh golongan bangsawan dan kerabat diraja.

“Malah melihat kepada reka bentuk nisan ini, ia sangat menyerupai batu nisan yang kita temui pada makam Sultan Kedah ke-14 Sultan Muhyiddin Mansur Shah baru-baru ini di Kampung Chegar, Tunjang,” katanya.

Menurutnya, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Muhammad Hassan Muhammad Arshad pada 1928 ada menceritakan mengenai tiga Sultan Kedah yang bersemayam di Bukit Pinang iaitu Sultan Ataullah (1687-1698), Sultan Abdullah Muadzam Shah (1698-1706) dan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I (1706-1709).

Bagaimanapun, setelah mangkat, hanya Sultan Abdullah dan Sultan Ahmad Tajuddin sahaja dimakamkan di Makam Diraja Langgar, manakala Sultan Ataullah dimakamkan di Makam Diraja Bukit Pinang namun makam itu tidak ditemui sehingga hari ini.

“Justeru, kami berpandangan bahawa makam yang ditemui ini berkemungkinan besar makam Sultan Ataullah dan kerabat dirajanya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.