Pemuda Umno Mahu Lebih Ramai Golongan Muda Jadi Calon PRU

Pemuda Umno berharap lebih ramai anak muda diketengahkan sebagai calon pilihan raya umum (PRU) akan datang atau dipilih menganggotai badan-badan berkaitan kerajaan (GLC).

Ketua Penerangannya Jamawi Jaafar berkata langkah itu seiring dengan usaha meremajakan Umno, selain menarik lebih ramai golongan muda menyertai parti keramat bangsa Melayu itu.

“Golongan muda adalah tulang belakang parti dan semestinya peranan, aspirasi dan idea mereka dalam pembangunan negara juga sangat penting lebih-lebih lagi mereka adalah pewaris masa hadapan negara,” katanya selepas menjadi panel bual bicara dalam program ‘Kedaulatan Watan: Propaganda dan Anasir Luar vs Budaya Asia’ anjuran Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab Umno Luar Negara di Menara Dato’ Onn di ibunegara malam tadi.

Jelas beliau, dalam usaha mendekati lebih ramai golongan muda, Umno perlu menganjurkan lebih banyak program yang bersesuaian dengan kehendak golongan itu.
Sementara itu, Jamawi berharap pemimpin veteran Umno sentiasa membantu dan memberi sokongan kepada pemimpin muda supaya parti itu akan kekal kuat dan relevan.

Sempena sambutan ulang tahun Umno ke-71 pada 11 Mei ini, beliau mahu orang Melayu khususnya anak muda terus bersatu dan tidak mudah terpedaya dengan agenda pembangkang.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.