Video: Selepas Polis Evo, Kini Putera Makassar Jadi Taruhan

Oleh: Saiful Izzuwan

 

KUALA LUMPUR – Selepas menghasilkan filem pecah panggung, Polis Evo, Ghaz Abu Bakar kini tampil dengan sebuah filem epik berjudul Putera Makassar Mahkota Bugis yang menelan belanja sebanyak RM 20 juta.

 

Menurut beliau, sungguhpun filem ini akan bermula pengambaran pada bulan Oktober, namun banyak masalah yang telah dihadapi khususnya melibatkan pemilihan pelakon yang sesuai.

 

“Banyak masalah, belum buat pun dah banyak masalah tapi masalah yang baik yang saya kena ambil positif terutama dari segi pemilihan pelakon terutamanya yang ada asas seni pertahankan diri terutamanya persilatan.

 

“Pemilihan itu Insyaallah tepat, dan tututan komersial itu perlu juga saya penuhi juga sebab kita buat filem ini untuk penonton datang dan lihat serta menonton dan pada masa yang sama kita membentangkan sejarah tapi saya masih menghormati perjuangan pesilat-pesilat tanah air,” katanya ketika sidang media di Dewan Perdana Felda di sini tadi.

 

Menurut penerbit filem ini, Asmadie Mokhadar, filem ini bakal memaparkan 80 peratus adegan aksi yang dijangka dapat menarik penonton untuk menonton filem ini selain daripada penekanan aspek mistik dalam penceritaan.

 

“Dalam dunia persilatan, kita akan masukkan unsur-unsur mistik, unsur-unsur orang lama ini sangat hebat seperti tengok air orang dah tahu dah berapa jarak musuh akan datang, tepuk air dah tahu cuaca bagaimana.

 

“Elemen-elemen mistik atau orang kata khurafat itu akan ada dalam filem kita sebab orang dulu-dulu percaya dengan benda-benda macam ini kerana Islam pada ketika itu tidak berapa kuat kerana baru tersebar dalam alam Nusantara dan kita akan dapatkan rujukan daripada pakar agama dari segi hukum agama bagaimana, tetapi benda-benda itu semua yang akan menarik orang ramai untuk datang ke panggung untuk menonton,” ujarnya lagi.

 

Filem ini bakal membariskan pelakon-pelakon terkemuka tanah air seperti Shaheizy Sam, Adi Putra, Izara Aisyah, Wan Raja dan ramai lagi dan dijangka ditayangkan pada 31 Ogos 2017. – SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.