Superbest Power Sedia Taja Kelantan Ganti Vida Qu Puteh

KUALA LUMPUR — Syarikat minuman kopi kesihatan Superbest Power menyatakan hasrat menaja pasukan Kelantan jika penaja utamanya Vida Beauty Sdn Bhd tidak lagi berminat.

 

Penaja kempen Piala FA bagaimanapun hanya akan membuat tawaran kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sekiranya pengeluar Qu Puteh benar-benar menarik diri.

 

“Sekiranya penaja Kafa ketika ini menarik balik tajaan mereka, kami sedia mengadakan perbincangan demi untuk kebaikan bola sepak Kelantan,” kata ketua pegawai eksekutif Superbest Power kepada Kosmo!.

 

“Superbest Power juga merupakan penaja untuk kempen Piala FA selama tiga musim bermula tahun ini.

 

“Justeru, kami bersedia untuk menawarkan tajaan kepada Kelantan, termasuk mana-mana pasukan yang terlibat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M),” kata Kamal Mohd Nor lagi.

 

Datuk Seri Hasmiza Othman, pemilik Vida Beauty, dilaporkan tidak teragak-agak menarik diri jika pasukan itu tewas menentang Felda United pada 4 Mei dan Selangor pada 18 Mei ini.

 

Beliau dikatakan tidak berpuas hati dengan prestasi tidak menentu skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQTRW) sepanjang Liga Super musim ini.

 

Kelantan kini berada di tangga kelima dengan 12 mata, selepas hanya tiga kali menang daripada sembilan perlawanan.

 

Kafa semalam dilaporkan menyatakan Hasmiza, juga dikenali Dr Vida, menafikan berura-ura menarik tajaan seperti dilaporkan di media.

 

“Saya sudah hubungi Dr Vida sejurus isu ini timbul, namun beliau menafikan sekeras-kerasnya.

 

“Malah beliau menganggap perkara tersebut hanya khabar angin semata-mata,” kata setiausaha agungnya Datuk Ismail Md Noor. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.