PRN Sarawak: PKR Tuding Jari Salahkan DAP

PKR semalam menuding kembali jari kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng susulan pertindihan kawasan dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini.

 

Naib presidennya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata PKR telah membuka pintu rundingan sehingga tengah malam semalam tetapi gagal mendapat maklum balas Lim.

 

“Dalam erti kata lain, Lim Guan Eng membuat keputusan untuk bertanding di kelima-lima kerusi yang bertindih tanpa mempertimbangkan cadangan PKR untuk berunding secara saksama dan situasi menang-menang.

 

“Ini bukan semangat yang sepatutnya ada pada rakan politik.

 

“Yang menyedihkan hati kami jumlah kerusi yang bertindih diperbesarkan dari lima ke enam kerusi, termasuk Batu Kitang,” katanya.

 

Shamsul berkata keputusan itu boleh disimpulkan sebagai tindak balas yang membawa kerugian, melanggar persetujuan asal serta mengurangkan peluang kemenangan calon wanita muda profesional PKR Voon Shiak Ni.

 

Lim sebelum ini menyatakan kekecewaan dengan keputusan PKR bertanding menentang parti itu di lima kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak dan merasakan ditipu.

 

Kedua-dua sekutu itu akan menghadapi satu sama lain di sekurang-kurangnya lima kerusi – Mulu, Mambong, Ngemah, Simanggang dan Murum.

 

Sebagai tindak balas, DAP pula meletakkan calonnya, Abdul Aziz Isa di Batu Kitang.

 

Dalam kenyataan petang ini, PKR mengulangi bahawa musuh utama mereka adalah BN.

 

“Kami harap kita semua akan dapat bersatu dalam usaha menyerang dan menumbangkan BN dengan terus meraih sokongan rakyat,” kata Shamsul. – Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.