Adenan Lancar Manifesto BN Sarawak, Fokus Kepentingan Rakyat & Negeri

KUCHING – Barisan Nasional (BN) Sarawak hari ini melancarkan manifesto dengan menggariskan 15 fokus utama berpaksikan rakyat serta menjaga kepentingan negeri pada Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN-11).

 

Bertemakan ‘Beri Peluang Kepada TeamAdenan #theAdenanWay’, manifesto itu merangkumi janji-janji dan ikrar kepada rakyat dalam mencapai aspirasi bersama agar Sarawak mengecapi lebih keamanan, kemajuan dan juga kemakmuran.

 

Dokumen tersebut dilancarkan oleh Pengerusi BN Negeri, Tan Sri Adenan Satem di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini bagi menghadapi PRN-11, 7 Mei ini.

 

Adenan yang juga presiden PBB berkata, kerajaan BN telah membuktikan ia tidak membuat janji kosong atau ikrar yang tidak tertunai, sebaliknya sentiasa mendapat kepercayaan rakyat.

 

Manifesto itu juga menggariskan pencapaian kerajaan negeri Sarawak di bawah kepimpinan Adenan, yang dilantik sebagai Ketua Menteri pada 2014, yang telah memperkenalkan 53 prinsip dan tindakan yang diterima baik demi untuk memanfaat rakyat dan negeri Sarawak.

 

Manifesto itu diterbitkan dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan Iban.

 

Berikut senarai 15 teras utama manifeso BN Sarawak 2016:

 

1. Menegakkan hak Sarawak dan rakyatnya

 

2. Mempertahankan keamanan dan keharmonian negeri kita

 

3. Memelihara budaya, warisan dan kepercayaan pelbagai kaum di Sarawak

 

4. Menjamin hak rakyat ke atas tanah mereka

 

5. Melindungi dan memulihara alam semulajadi

 

6. Mempertingkatkan kebajikan golongan yang kurang bernasib baik

 

7. Menyediakan lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana

 

8.Mempercepatkan pembangunan jaringan jalan, liputan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi

 

9. Meningkatkan akses kepada perkhidmatam kesihatan

 

10. Meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti sosio-ekonomi

 

11. Mengiktiraf dan membangunkan potensi belia demi masa depan kita

 

12. Memajukan pendidikan dan latihan teknikal

 

13. Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak

 

14. Membangunkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk pelaburan dan keusahawanan

 

15. Industrialisasikan negeri melalui sektor pembuatan, pelancongan dan transformasi luar bandar.

 

Adenan berkata, manifesto itu juga adalah sasaran dan pelan tindakan BN Sarawak untuk tempoh lima tahun akan datang bagi meningkatkan pendapatan rakyatnya.

 

“Dengan sokongan rakyat, kami telah mencapai kejayaan pada masa lalu dan kami berazam meneruskan usaha ini pada masa akan datang,” katanya.

 

Beliau berkata, kekuatan manifesto ini bersandarkan khidmat BN kepada rakyat di mana BN mempunyai rekod prestasi yang baik dalam membangunkan negeri ini dalam semua aspek.

 

“Kita boleh tafsir ia sebagai kesinambungan kepada manifesto BN terdahulu tetapi ada banyak pembaharuan terutama dalam tempoh dua tahun lepas,” katanya.

 

Hadir sama, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, barisan kepimpinan PBB termasuk timbalan presiden Datuk Amar Abang Johari Tun Openg serta Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian dan Presiden SPDP, Datuk Seri Tiong King Sing. – MGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.