Tiada Sebab Ganti Najib – Zahid

SEBERANG JAYA – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak sebarang cubaan yang mahu menggantikan kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

 

Beliau ketika mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir yang mahu Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih pentadbiran Najib menyifatkan ia sebagai pandangan peribadi.

 

“Itu pandangan peribadi Tun Mahathir, apa yang penting adalah kestabilan dan perpaduan dalam UMNO dan saya merasakan ia tidak seharusnya berbangkit langsung.

 

“Pada hemat saya sebaik-baiknya perkara itu diselesaikan melalui parti dan dalam keadaan sekarang saya tidak melihat keperluan untuk melakukan sebarang peralihan kuasa perlu dibuat,” katanya kepada pemberita sejurus selepas Majlis Ramah Mesra bersama jentera Barisan Nasional (BN) di Pusat Daerah Mengundi Tanah Liat malam tadi.

 

Ahmad Zahid ketika mengulas lanjut berkata, kenyataan Tun Mahathir itu sedikit sebanyak akan menggangu gerak kerja kempen yang dilakukan oleh jentera BN di Permatang Pauh dan Rompin kerana bakal dijadikan modal oleh pambangkang bagi meraih undi.

 

“Kita di dalam UMNO dan Barisan Nasional telah meneliti semua kenyataan beliau dan kita terpaksa beri penjelasan atas isu yang dilontarkan, kita rasakan bahawa di Permatang Pauh isu ini akan dimainkan oleh pembangkang.

 

“Pembangkang akan jadikan kenyataan Tun Mahathir sebagai bahan kempen mereka dan memang sesuatu yang tidak menyenangkan kerana kenyataan itu akan sedikit menyusahkan  kempen BN di Permatang Pauh dan Rompin,” katanya lagi.

 

Ahmad Zahid turut mengharapkan agar pengundi di Rompin dan Permatang Pauh tidak terpengaruh dengan kenyataan Tun Mahathir itu.

 

“Pihak kerajaan akan menjawab secara rasmi dan telus persoalan yang dibangkitkan itu.

 

“Itu adalah pendapat peribadi beliau  kerana apa yang penting adalah menjaga kestabilan dalam politik UMNO dan kekuatan BN ketika kempen pilihanraya sedang berjalan” ujarnya pula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.