Shameel Aqmal Juara Pertandingan SuERA

KUALA LUMPUR – Peserta Shameel Aqmal diumumkan sebagai juara pencarian bakat pentas akhir SuERA yang berlangsung di Nu Sentral di sini pada petang Sabtu.

 

Shameel di bawah bimbingan penyanyi Ewal berjaya membawa pulang RM10,000  beserta sebuah trofi.

 

Juara turut berpeluang beraksi di pentas Akademi Fantasia 2015 yang bakal berlangsung dalam masa terdekat ini.

 

“Alhamdulillah syukur, latihan dan ajaran yang diberikan oleh Ewal nampaknya berhasil.

 

“Diharap kejayaan ini memberikan saya satu langkah kedepan untuk mengejar impian sebagai penyanyi profesional,” kata Shameel.

 

Tempat kedua pula dimenangi oleh Syazmie Suhaimi di bawah bimbingan tenaga pengajar Daiyan Trisha dengan menerima wang tunai sebanyak RM2,000.

 

Manakala Mohammad Ariff Fardillah (Firman) mendapat tempat ketiga, menerima wang tunai RM2,000.

 

Peserta Mohd Yushairi Mat Yusoff (Dina Nadzir) dan Natasha Nordin (Aman) masing-masing mendapat tempat keempat dan kelima.

 

Sementara itu, menurut Pengurus Saluran ERA, Nazri Noran, SuERA telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan menerima lebih 2,600 penyertaan sepanjang peringkat awal pertandingan.

 

“SuERA berjaya menarik banyak penyertaan dan akhirnya lima finalis terbaik dibawa ke pentas akhir dengan bakat mereka diadili oleh juri-juri profesional.

 

“Juara yang dipilih sememangnya layak dan berdasarkan sambutan hebat yang diterima, kami masih dalam perbincangan untuk mengadakan program pencarian bakat yang sama dengan kandungan yang lebih hebat dan lebih besar melibatkan produksi TV tetapi semua ini masih dalam perancangan.

 

“Sebelum ini juga kami pernah menganjurkan pencarian Bakat Johara dan kami di Era percaya yang bakat itu bukan sahaja dinilai melalui bakat nyanyian semata-mata,” katanya.

 

SuERA diadili sepenuhnya oleh tiga juri profesional iaitu Datuk Aznil Nawawi, Edry Abdul Halim dan Cikgu Shahrol.

 

Pentas akhir SuERA turut dimeriahkan oleh penyampai radio ERA, Johan, Hanif, Ray, Tauke, Adi dan Dina Nadzir. – Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.