PAS Seharusnya Keluar Pakatan, Jika… – Saari Sungib

ADUN Hulu Kelang Saari Sungib berkata PAS seharusnya keluar daripada Pakatan Rakyat sekiranya rakyat tidak dapat lagi menerima mereka dalam gabungan pembangkang itu.

 

Beliau yang kini digantung keahlian selama setahun berkata badan pengkaji Merdeka Centre perlu membuat kajian terhadap rakyat dan pengundi sama ada PAS masih lagi relevan dalam pakatan pembangkang itu ataupun tidak.

 

“Banyak orang tidak puas hati, dalam parti, luar parti, dalam Keadilan, dalam DAP, dalam Pakatan Rakyat, pengundi, penyokong, pelbagai lagi.

 

“Dari segi semangat (PAS) yang wujud seperti ambil hati, macam kes Permatang Pauh, (terpaksa) berunding, tapi sampai bila (nak) berunding?

 

“Kalau keputusannya lebih baik PAS tidak berada dalam Pakatan Rakyat, ada bukti yang kukuh, kajian yang menyeluruh, PAS harus keluar dari Pakatan Rakyat. Dan diganti dengan pakatan yang baru,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi menjelaskan lebih lanjut kenyataannya dalam satu forum di Konvensyen PasMa sebelum itu di Perpusatakaan Awam Raja Tun Uda di Shah Alam petang ini.

 

Dalam forum itu Saari – yang diundang ke majlis itu – berkata PAS harus keluar Pakatan Rakyat kerana sering dituduh mengkhianati rakan dalam Pakatan Rakyat.

 

Saari yang juga berkata saranannya terhadap parti Islam itu dibuat antara lain kerana PAS sering dilihat membelakangi Pakatan dalam membuat keputusan.

 

Ditanya sama ada beliau bimbang akan dipecat daripada PAS susulan cadangan tersebut, Saari berkata: “Bergantung dengan cara berita ini diterima,” katanya sambil ketawa kecil.

 

Saari digantung keahlian PAS selama setahun ekoran tindakan beliau menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa kemelut menteri besar Selangor. – Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.