Krisis Belum Selesai, Pemuda PAS Rehatkan Jentera Pilihan Raya

PERMATANG PAUH – Pemuda Pas Pulau Pinang kekal dengan pendirian merehatkan jentera untuk PRK Permatang Pauh berikutan kegagalan AMK Pulau Pinang memenuhi tuntutannya hingga kelmarin.

 

Ketuanya, Mohd Yusni Mat Piah berkata, AMK Pulau Pinang gagal meminta maaf secara terbuka kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abduil Hadi Awang yang didakwa menjalinkan kerjasama dengan Umno dan memintanya meletak jawatan.

 

Berikutan itu, semua jentera Pemuda Pas Pinang direhatkan dan tidak terlibat dalam urusan PRK Permatang Pauh walaupun masih menjalin kerjasama dengan rakan PR.

 

“Dewan Pemuda Pas menetapkan pendirian bahawa semua jentera dan petugas direhatkan dari semua gerak kerja sepanjang PRK Permatang Pauh.

 

“Semua bilik gerakan Pemuda Pas tidak akan dibuka sama sekali. Mana-mana premis bawah seliaan kami juga tidak dibenarkan untuk digunakan sepanjang PRK Permatang Pauh,” katanya dalam kenyatan media di sini hari ini.

 

Malahan, kumpulan Alternatif Riding Club (ARC) bagi aktiviti konvoi anak muda atau seumpamanya, petugas keselamatan Jabatan Amal Negeri dan semua guru Pasti juga akan direhatkan dari bertugas dalam PRK itu.

 

“Kami juga tidak akan terlibat  dengan jemputan untuk menyertai mana-mana pentas ceramah sepanjang kempen untuk PRK Permatang Pauh.

 

“Pemuda Pas Pulau Pinang juga kecewa atas sikap berdiam diri AMK Pulau Pinang dan helah politik PKR dan beberapa pimpinan tertentu Pas dalam mengurus  desakan akar umbi Pas di Permatang Pauh,” katanya.

 

Diminta mengulas tindakan Pas Kawasan Permatang Pauh membuat pusingan-U dan kembali menyokong calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Yusni  berkata, mesyuarat agung tahunan (MAT) kawasan itu membuat keputusan berdasarkan suara akar umbi dengan meminta permohonan maaf dibuka secara terbuka.

 

Ini kerana permintaan akar umbi agar Dr Wan Azizah menarik balik kenyataan dan meminta maaf secara terbuka berhubung isu hudud.

 

“Tetapi beberapa pemimpin kawasan dan negeri mengadakan perjumpaan secara tertutup dan membuat keputusan sendiri tanpa pengetahuan ahli akar umbi.

 

“Namun lain jadinya dalam mesyuarat yang diadakan malam semalam (kelmarin). Sepatutnya majlis taklimat kepada ahli bertukar kepada majlis pelancaran jentera.

 

“Ini menyebabkan kekeliruan kepada akar umbi dan mahu penjelasan dari pimpinan PKR sama ada menyokong atau tidak hudud,” katanya sambil menganggap  beberapa isu yang timbul masih tidak selesai selagi belum ada kenyataan rasmi dari Dr Wan Azizah.

 

‎Sebelum ini media melaporkan sengketa Pas Permatang Pauh dengan PKR selesai setelah kedua-dua belah pihak bertemu dan bersetuju berdamai pada malam 24  April lalu.

 

Perjumpaan itu melibatkan Yang Dipertua Pas Kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang juga Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Datuk Mohd Salleh Man.

 

Manakala PKR diwakili presiden, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk mansor Othman.

 

Omar berkata, pihaknya menerima persetujuan PKR iaitu semua pemimpin dan ahlinya yang beragama Islam akan menyokong pelaksanaan hudud yang  dicadangkan Pas manakala pemimpinnya yang bukan Islam tidak menyokong hukum itu.

 

Sebelum ini, dalam mesyuarat agung tahunan Pas Permatang Pauh Ahad minggu lalu, meluluskan usul menggesa kepimpinan PKR membuat permohonan maaf  secara terbuka dan menarik balik kenyataan mereka yang tidak menyokong pelaksanaan rang undang-undang persendirian berkaitan hudud.

 

Omar berkata, PKR diberi tempoh sehingga sebelum hari penamaan calon untuk membuat permohonan maaf dan menarik semula kenyataan tidak menyokong  hudud.

 

Pendirian ini dibuat dan disepakati oleh akar umbi kerana ahli Pas Permatang Pauh mampu memberi kemenangan kepada calon yang akan bertanding pada PRK  nanti. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.