Kegiatan Geng Black Dilumpuhkan

KUANTAN – Polis melumpuhkan kegiatan samun sebuah kumpulan menggelarkan diri mereka ‘geng black’ ekoran tertangkapnya lima lelaki dan seorang wanita dalam dua serbuan berasingan di sini, kelmarin.

 

Kumpulan tersebut dipercayai bergiat aktif dalam beberapa kes samun di sekitar bandar ini, sejak awal bulan ini.

 

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata polis bertindak menyerbu sebuah rumah di Taman Mahkota dekat sini pada 5.30 petang, setelah melakukan intipan selama tiga jam.

 

“Dalam serbuan itu, polis menahan empat lelaki berusia 23 hingga 35 tahun, tiga daripada mereka penagih tegar syabu.

 

“Polis juga menemui sebilah parang, pisau panjang, sebuah komputer riba, lima telefon bimbit, 12 keping kad tambah nilai, wang tunai RM309, empat beg silang, dua helai t-shirt dan sebuah kereta Proton Waja yang dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

 

Beliau berkata siasatan awal mendapati, suspek berusia 35 tahun itu mempunyai lapan rekod jenayah lampau, manakala suspek berumur 29 tahun memiliki dua rekod jenayah termasuk dikehendaki polis berkaitan laporan Balai Polis Jaya Gading di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

Sementara itu, dua lagi lelaki berusia 23 dan 27 tahun, yang ditangkap itu tiada rekod jenayah.

 

Abdul Aziz berkata susulan tangkapan dan hasil soal siasat ke atas suspek, sepasukan anggota polis kemudian bertindak memburu beberapa lagi anggota kumpulan tersebut.

 

“Hasil serbuan sejam kemudian (6.30 petang) ke atas sebuah rumah di Kampung Padang Jaya dekat sini, seorang wanita berusia 26 tahun ditahan.

 

“Seorang lagi lelaki berusia 38 tahun turut ditangkap di Jalan Mat Kilau dalam serbuan berasingan sejurus kemudian. Dengan tertangkapnya enam suspek ini, polis percaya ‘geng black’ berjaya dilumpuhkan sepenuhnya,” kata Abdul Aziz.

 

Katanya, polis percaya hasil samun itu digunakan untuk membiayai keperluan membeli dadah kumpulan terbabit. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.