JDT Akan Pecat Bojan Hodak?

KUALA LUMPUR – Selepas kekalahan 1-2 kepada Perak kelmarin, khabar angin bertiup kencang mengatakan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan memecat Ketua Jurulatih mereka, Bojan Hodak.

 

Laman web sukan, www.fourthofficial.com mendakwa jurulatih dari Croatia itu akan disingkir selepas skuad Harimau Selatan gagal menampilkan aksi cemerlang musim ini dan tidak mendominasi saingan Liga Super.

 

JDT sebelum ini turut tersingkir daripada Piala FA, meskipun sudah melakukan pelaburan besar semasa jendela perpindahan pemain dibuka.

 

Skuad Harimau Selatan membawa masuk dua pemain baharu, Patito Rodriguez dan Alhaji Kamara, baru-baru ini, namun masih gagal memberikan persembahan meyakinkan.

 

Dikhabarkan, pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sudah hilang sabar apabila pasukan itu kalah kepada Perak di Ipoh, yang menyaksikan mereka beraksi dalam keadaan tertekan.

 

Harimau Selatan meraih gol awal menerusi Junior Eldstal, namun dua jaringan Nurridzuan Abu Hassan dan Chad Souza dalam tempoh lima minit separuh masa kedua bermula, menjadi inspirasi kepada skuad Bos Gaurus untuk mencipta kemenangan.

 

Sementara itu, Mingguan Malaysia difahamkan, Hodak memberitahu sumber rapat bahawa dia bukan dipecat, sebalik­nya ‘direhatkan’.

 

Pengendali berusia 44 tahun itu dikhabarkan akan bertemu Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam tempoh terdekat ini bagi menyelesaikan masalah itu.

 

JDT kini menghuni anak tangga keempat Liga Super dengan 15 mata selepas hanya merekodkan empat kemenangan daripada sembilan perlawanan.

 

Biarpun kedudukan sebenar Hodak masih samar, namun spekulasi mula bertiup kencang mengatakan seorang jurulatih dari Argentina, selain pengendali ATM, B. Sathianathan antara yang disenarai pendek untuk menjadi pengganti. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.