Eksekutif Google Terbunuh Dalam Gempa Bumi Di Nepal

NEW YORK – Eksekutif Google Inc yang berpangkalan di California, Dan Fredinburg adalah antara mereka yang terkorban dalam runtuhan salji di Gunung Everest berpunca akibat gempa bumi yang menggegar Nepal, kata syarikat berkenaan.

 

Fredinburg dikatakan mendaki puncak tertinggi di dunia itu bersama tiga lagi kakitangan Google ketika runtuhan salji berkenaan berlaku. Pegawai Google Inc dalam satu kenyataan berkata, tiada rakan Fredinburg mengalami kecederaan.

 

Fredinburg, seorang kakitangan kanan Google, adalah ketua satu jabatan di Google X, bahagian penyelidikan di Ibu Pejabat syarikat berkenaan di Mountain View, California.

 

Kakak Fredinburg, Megan berkata, mendiang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala ketika runtuhan salji itu.

 

“Rohnya dan semangatnya akan terus hidup dalam jiwa kami,” katanya menerusi entri Instagram.

 

Fredinburg, seorang pendaki berpengalaman sedang mendaki Gunung Everest bersama Jagged Globe, sebuah syarikat yang menganjurkan pendakian gunung.

 

Ketika mengesahkan kematian Fredinburg, syarikat berkenaan berkata, dua lagi ahli pendakian mengalami kecederaan ringan dalam runtuhan salji berkenaan yang menimpa kawasan base camp.

 

Selain itu, pegawai tentera berkata, pasukan pendaki dari tentera India menemui 18 mayat di Everest.

 

Sementara itu, Kementerian Pelancongan Nepal hanya mengesahkan 10 kematian tetapi jurucakapnya berkata, angka kematian mungkin meningkat dan runtuhan salji berkenaan meranapkan sebahagian besar base camp.

 

Gempa bumi semalam yang berpusat di antara dua bandar terbesar di Nepal iaitu Kathmandu dan Pokhara, adalah kawasan paling teruk dilanda gegaran di negara yang memiliki 28 juta penduduk. Gempa itu berlaku dalam tempoh 81 tahun dan menyebabkan kira-kira 1,400 terkorban. – Reuters/Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.