Dua Rakyat Malaysia Di Nepal Gagal Dikesan

KUALA LUMPUR – Dua rakyat Malaysia yang dipercayai terkandas di Nepal masih gagal dikesan selepas berlaku gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 di negara tersebut, semalam.

 

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, kedua-dua rakyat Malaysia itu merupakan adik-beradik wanita dan pihaknya belum dapat mengenal pasti lokasi terkini mereka.

 

“Kami tidak pasti apa yang berlaku kepada kedua-dua wanita itu dan tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung keadaan mereka.

 

“Kita akan terus cuba menghubungi kedua-dua wanita tersebut dan memastikan mereka berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam sidang akhbar pada Sidang Kemuncak ASEAN kali ke-26, di sini hari ini.

 

Berdasarkan laporan media antarabangsa, lebih 1,800 orang terkorban dalam bencana alam yang berlaku di beberapa kawasan di Nepal, antaranya Kathmandu dan Pokhara.

 

Sementara itu, Anifah mewakili seluruh pemimpin ASEAN berkongsi rasa sedih dan menyampaikan ucapan takziah kepada semua yang terlibat dalam nahas gempa bumi di Nepal.

 

“Kami juga akan menyalurkan bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban yang dihadapi mereka,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.