1MDB: Antara Auta & Fakta Tun M

Adakah portal berita pro-pembangkang dan Tun M ‘bekerjasama’ merosakkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia?

 

1. Dulu Tun M kata dia tidak menuduh Datuk Seri Najib tetapi hanya bertanya. Tun M juga kata dia tidak menyuruh Najib meletak jawatan dan digantikan, tetapi hanya bertanya. Tun M terbukti berbohong apabila ada video yang mengesahkan dia
tidak bertanya, sebaliknya membuat kenyataan mahu Najib digantikan kerana kononnya Najib mempunyai terlalu banyak skandal.

 

2. Dulu Tun M mendakwa duit 1MDB yang ‘lesap’ adalah RM42 bilion. Tun M bertanya ke mana wang ini pergi dan mempersoal sama ada 1MDB benar-benar mempunyai aset dan tanah? Sekarang ‘wahyu’ terbaru Tun M menyebut jumlah yang ‘lesap’ bukan RM 42 bilion tetapi hanya RM27 bilion. Tun M turut membantu menyenarai dan menganggar nilai aset 1MDB walaupun dulu didakwa kononnya 1MDB tiada aset.

 

3. Blogger dan cybertrooper pro Tun M pula sudah semakin keliru. Walaupun tidak faham kisah sebenar 1MDB mereka terpaksa mengubah skrip untuk disesuaikan dengan ‘wahyu’ terbaru Tun M.

 

4. Dalam blognya, Tun M mendakwa 1MDB sebagai syarikat dengan modal RM1 juta tidak boleh meminjam sehingga 42,000 kali nilai modalnya tanpa sandaran dan hanya boleh berbuat demikian dengan jaminan kerajaan. Tun M juga cuba memberi gambaran seolah-olah semua hutang 1MDB dijamin kerajaan dan jika 1MDB rugi, kerajaan akan menanggung akibatnya.

 

5. Tun M nampaknya menyembunyikan fakta bahawa hanya RM 5.8 bilion hutang 1MDB yang dijamin kerajaan. Baki hutang yang lain dijamin oleh 1MDB, disandarkan kepada aset atau dijamin oleh rakan kongsi, iaitu, International Petroleum Investment Co PJSC (IPIC), sebuah syarikat pelaburan  kerajaan Abu Dhabi. Tun M juga gagal menjelaskan bahawa 1MDB adalah syarikat dengan liabiliti terhad dan kerugian syarikat tidak ditanggung oleh kerajaan melainkan bon yang dijamin kerajaan.

 

6. Satu lagi perkara yang perlu dijelaskan adalah dakwaan bahawa1MDB gagal membayar hutang sebanyak RM5.5 bilion yang dipinjamkan oleh 5 buah bank, iaitu Maybank (58.9 %), RHB (32.4 %), Alliance Investment Bank Bhd (4.06%), Malaysia Building Society Bhd (3.24%) dan Hwang DBS Investment Bhd (1.29%). Ada blogger pro Tun M yang cuba menyamakan kegagalan ini dengan kegagalan Renong-UEM (pada zaman Tun M) dan kegagalan sistemik sistem kewangan dan perbankan negara walaupun agensi penarafan Moody menafikan hutang 1MDB akan mengakibatkan kegagalan sistemik. Hakikatnya 1MDB telah membayar secara penuh hutang sebanyak RM2 bilion kepada Maybank dan RHB pada 13 Februari 2015, lebih awal dari tempoh berakhir pinjaman mengikut syarat yang ditetapkan dan baki sebanyak RM3.5 bilion telah ditukar kepada hutang jangka panjang berakhir pada Ogos 2024.

 

7. Dalam blognya, Tun M turut menyebut tentang isu komisen Goldman Sachs dan kadar faedah bon yang tinggi. 1MDB telah menjelaskan tentang perkara ini dan sejumlah perkara lain dalam FAQ 1MDB di laman web 1MDB. Mungkin Tun M belum berkesempatan membacanya.

 

8. Tun M bukan auditor yang dipertanggung jawabkan untuk mengaudit akaun 1MDB dan tidak mempunyai kuasa penyiasat seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Parlimen (PAC) yang mendapat akses kepada dokumen dan transaksi 1MDB. Disebabkan itu dalam blognya Tun M sekadar mampu mencongak dan menganggar nilai pelaburan dan aset 1MDB.

 

9. Dalam blognya, mungkin Tun M terlepas pandang beberapa perkara seperti aset dan pelaburan 1MDB dalam industri tenaga, antaranya:-

 

i. pemilikan 15 loji kuasa dan desalinasi di enam buah negara, Mesir, Bangladesh, UAE, Sri Lanka, Pakistan dan Malaysia dengan kapasiti penjanaan tenaga bersih 5594MW

 

ii. pembinaan 3 lagi loji kuasa baru, iaitu Jimah East Power di Port Dickson, loji kuasa Gas di Melaka dan loji Solar di Kedah

 

iii. pembelian 310 ekar  tanah di Pulau Indah untuk projek-projek yang berkaitan dengan tenaga

 

10. Tun M juga mungkin tersalah anggar nilai aset dan pelaburan 1MDB dalam bidang hartanah, misalnya:

 

i. pembangunan 70 ekar tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang mempunyai Nilai Pembangunan  Kasar (GDV) sebanyak RM40 bilion dan dijangka dapat menarik lebih 250 syarikat global, mewujudkan 500,000 pekerjaan secara langsung dan tidak langsung

 

ii. pembangunan 495 ekar projek Bandar Malaysia dengan nilai pembangunan kasar RM155 bilion yang dihubungi laluan Keretapi Berkelajuan Tinggi ke Singapura dan MRT Kuala Lumpur, salah satu stesennya dari TRX serta dapat menjadi pemangkin pembangunan koridor selatan Malaysia dengan kawasan pertumbuhan satelit di Seremban, Batu Pahat, Muar, Melaka dan Bandar Nusajaya.

 

iii. pembinaan lapan kemudahan ketenteraan baru untuk TUDM dan PDRM bernilai RM2.7 bilion, termasuk dua lapangan terbang udara baru, iaitu 500 ekar pangkalan TUDM di Sendayan dan flying wing PDRM di Subang.

 

iv. pembelian tanah dan pembinaan 30,000 rumah kos rendah dan mampu milik khususnya di Pulau Pinang (9999 unit) dan di Lembah Klang (20,000 unit di Bandar Malaysia)

 

11. Tulisan Tun M lebih banyak berbentuk dakwaan dan permainan persepsi, termasuk cubaan mengaitkan 1MDB dengan Jho Low dan Riza Aziz. Sehingga sekarang Tun M masih tidak dapat mengemukakan sebarang bukti yang kukuh tentang penggelapan wang yang dilakukan oleh kedua mereka.

 

12. Dalam hal ini, Petrosaudi telah menyatakan bahawa pelaburan ini telah dipulangkan bersama keuntungan dan ia tercatat dalam akaun beraudit. 1MDB juga telah menyatakan pelaburan dalam syarikat usahasama dengan Petrosaudi ini telah ditukarkan ke dalam bentuk nota Murabaha dan dibayar sepenuhnya pada jumlah AS$2.318 bilion dengan keuntungan sebanyak AS$488 juta pada tahun 2013.

 

13. Dakwaan tidak berasas dan permainan persepsi ini tidak mendatangkan sebarang manfaat melainkan hanya untuk menghakis keyakinan terhadap ekonomi dan kepimpinan negara. Didapati terdapat usaha berterusan memainkan persepsi negatif walaupun kerajaan telah memberi komitmen untuk melaksanakan audit forensik, siasatan oleh PAC, tidak akan melindungi pihak yang bersalah dan tidak akan mem’bail-out’ 1MDB.

 

14. Selain Tun M, portal pro-pembangkang juga turut berusaha menghakis keyakinan pelabur terhadap kepimpinan dan ekonomi negara. Artikel The Edge Review, yang turut disiarkan oleh Malaysian Insider menggunakan tajuk “Controversies raise Malaysia’s risk profile” menyiarkan berita bahawa agensi penarafan sedang berura-ura untuk menurunkan penarafan kewangan negara walaupun Naib Presiden dan Pegawai Kanan Kredit bagi Institusi Agensi Penarafan Moody, Eugene Tarzimanov telah menyatakan bahawa hutang 1MDB tidak akan mengakibatkan kesan sistemik terhadap sistem kewangan dan perbankan negara kerana jaminan dan dedahan hutang 1MDB adalah terhad dan mempunyai sandaran. Kenyataan Moody ini konsisten dengan kenyataan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zetty Akhtar, CEO 1MDB Arul Kanda dan jawapan-jawapan Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Husni Hanadzlah di Parlimen.

 

15. Walaupun fundamental atau asas ekonomi negara adalah kukuh dan keyakinan terhadap ekonomi negara sangat tinggi (terbukti apabila Sukuk Global Malaysia yang diterbitkan terlebih langganan sehingga RM32.8 bilion), namun ia masih boleh dirosakkan oleh khabar angin dan permainan persepsi yang negatif terhadap negara.

 

16. Sepanjang tempoh beberapa tahun ini peranan menghakiskan keyakinan terhadap kepimpinan dan ekonomi negara dimainkan secara konsisten oleh pemimpin pembangkang dan portal pro pembangkang, tetapi kali ini nampaknya Tun M turut serta.

 

17. Tun M mahu batalkan GST? Adakah ini kerana auta atau fakta?

 

* Tulisan Oleh Tun Faisal Ismail Aziz

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.